Pilihanraya Kecil S. Besar & K. Kangsar

Laporan Langsung

Rasmi: BN menang di Kuala Kangsar juga

9.55pm- Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid sebagai pemenang bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

Pegawai pengurus Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria berkata Mastura berjaya mendapat 12,653 undi.

Kemenangan Mastura disambut tepukan gemuruh daripada hadirin di dewan itu, yang juga termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Berikut keputusan rasmi:

Izat Bukhary Ismail Bukhary 54
Dr Najihatussalehah Ahmad 5,684
Mastura Mohd Yazid 12,653
Ahmad Termizi Ramli 4,883
Undi rosak 239
Majoriti 6,969

Rasmi: BN menang di Sg Besar, majoriti melonjak

9.55pm: Sg Besar – Keputusan rasmi:

BN: 16, 800 
AMANAH 7,609 
PAS: 6,902

Majoriti: 9,191

AMANAH teruk di kawasan Melayu Sg Besar

9.49pm – Sg Besar 

Analisis peti undi

Calon AMANAH kalah teruk di kawasan Melayu Sungai Besar dengan sesetengah peti undi tidak lebih daripada 20 undi.

Manakala peti undi PAS di kawasan Melayu masih boleh menyaingi BN. Beza undi keduanya antara 50 hingga ratusan undi sahaja.

Contohnya, peti undi bagi salah satu saluran di Kawasan Melayu Sungai Leman Kampung Darat, AMANAH mendapat 25 undi, BN (275) dan PAS (105).

Manakala peti undi bagi salah satu saluran di Kawasan Melayu Sek Keb Tok Khalifah pula seperti berikut: AMANAH 7, BN (157) dan PAS (100).

Bagi kawasan Cina, peti undi pula kelihatan berpecah kepada AMANAH dan BN dengan bezanya kebanyakan tidak lebih daripada 50 undi. 

Hal ini menunjukkan BN masih boleh bertanding dengan Amanah dan mengaut hampir separuh undi di kawasan Cina.

Hal ini juga menunjukkan terdapat undi Cina berbalik kepada BN.

Contohnya, peti undi salah satu saluran bagi pusat daerah mengundi Sekinchan Selatan masing-masing bagi AMANAH sebanyak 150, BN (106) dan PAS (2).

Manakala bagi peti undi salah satu saluran di pusat mengundi SMJK Yoke Kuan adalah AMANAH mendapat 171 undi, BN (154) dan PAS (33).
 

PAS jauh tertinggal di kawasan Cina Sg Besar 

9.30PM: Sg Besar – PAS hilang sebahagian besar sokongan di Sekinchan, kawasan majoriti Cina. 

Ia berdasarkan keputusan tidak rasmi di lima kawasan majoriti Cina dalam kawasan itu – Sekinchan, Sekinchan Selatan, Sekinchan Tempatan Selatan, Sekinchan Tempatan Tengah dan Sekinchan Tempatan.

Data-data itu menunjukkan PAS hanya mendapat 292 undi, jauh di belakang AMANAH yang mendapat  3,502 undi. BN mendapat 2,909 undi.

Calon AMANAH: Lebih baik dari jangkaan

9.10pm: Sg Besar – Calon AMANAH Azhar Abdul Shukur rasa lega walaupun beliau berada di tempat kedua, berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat ini.

“Hebat, lebih baik daripada yang dijangkakan,” katanya.

Calon BN tiba di pusat penjumlahan undi Sg Besar

9:05pm: Dewan Seri Bernam, Sungai Besar - Calon BN,  Budiman Mohd Zohdi tiba di pusat penjumlahan undi di sini.

Turut berada di sana termasuk, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar dan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Yunos.

Terdahulu di pusat operasi PAS di Simpang Lima, Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyampaikan ucapan terima kasih kepada jentera PAS sebelum memulakan solat terawih.

Jangan kecewa, PSM faham - Arutchelvan sindir PAS

9.03pm: Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan menyindir kedua-dua PAS dan AMANAH di Facebook.

Sambil menasihatkan mereka supaya tidak kecewa, katanya, “Kami PSM faham. kami pun dulu ada pengalaman kalah kerana tiga penjuru.”

BN secara tidak rasmi telah memenangi kerusi Sungai Besar dan Kuala Kangsar dengan majoriti lebih tinggi.

AMANAH mungkin hilang tempat kedua kepada PAS

8:40pm: Pusat Operasi DAP, Kuala Kangsar: Setiausaha DAP Perak Wong Kah Woh berkata, beliau tidak optimistic bahawa AMANAH dapat mengatasi PAS apabila peti undi di kawasan luar bandar Melayu dikira.

Bagaimanapun, katanya, bagi, AMANAH yang berusia hanya lapan bulan, parti itu berjaya memberi pertandingan yang sengit.

"Prestasinya baik terutama di kawasan bandar. Cabaran paling besar adalah bagaimana untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya akan datang," katanya.

Persaingan sengit bagi tempat kedua 

8.15pm: Kiraan masih diteruskan. Setakat jam 8.06pm, AMANAH memintas PAS di Sungai Besar manakala BN pula terus meluaskan jurangnya di tempat pertama.

Angka tidak rasmi dilaporkan BN sebanyak 14,911 undi, AMANAH (7,230) dan PAS (6,342).

Beberapa pemimpin BN sudah mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Twitter, seperti  Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang berkata keputusan hari ini menunjukkan masyarakat Cina sudah letih melayan karenah pembangkang.

BN menang di kedua-dua parlimen

7.52pm Keputusan tidak rasmi menunjukkan BN memang di kedua-dua pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Ia sekali gus menggagalkan hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melihat dua pilihan raya ini menjadi referendum bagi menolak pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Peralihan undi di kawasan Cina kepada BN juga menjadi hakikat yang pahit untuk ditelan Paktan Harapan, terutamanya DAP.

Sementara itu, tumpuan kini pada PAS dan serpihannya AMANAH bagi melihat pihak mana yang lebih popular di kedua-dua kawasan itu.

AMANAH beri PAS saingan hebat

7:20pm: Setakat ini, keputusan tidak rasmi dari kedua-dua Sungai yang Besar dan Kuala Kangsar menunjukkan AMANAH memberi PAS saingan yang hebat.

AMANAH telah meraih lebih 5,500 undi berbanding PAS yang mendapat sekitar 3000 di Sungai Besar, manakala di Kuala Kangsar parti serpihan itu berjaya memenangi lebih 3,500 undi berbanding PAS yang mendapat kurang sedikit daripada 2500 undi.

BN bagaimanapun terus mendahului di kedua-dua kerusi itu dengan selesa dengan undi yang dimenanginya mencecah hampir 10,000 di Sungai Besar dan 7000 di Kuala Kangsar setakat ini.

Walaupun, jika digabungkan undi kedua-dua parti AMANAH dan PAS, pembangkang benar-benar memberi BN cabaran hebat.

Masih terlalu awal, kata DAP Perak

7.00pm: Kuala Kangsar – Mengulas corak pengundian, Setiausaha DAP Perak Wong Kan Wong berkata masih terlalu awal untuk menentukan nasib parti-parti bertanding.

Katanya, masyarakat Cina di kawasan separa bandar mengundi BN tetapi di kawasan bandar mereka memilih AMANAH.

Pembangkang merosot di kawasan Cina terbesar K Kangsar

6.50pm: Kuala Kangsar – BN menang di kawasan Jerlun, yang mempunyai 85 peratus pengundi Cina. Parti itu mendapat 568  undi (52.3 peratus).

AMANAH hanya menerima 415 undi (38 peratus) daripada 1,086 undi. PAS pula hanya mendapat 88 undi.

AMANAH kalah di kesemua saluran kepada BN.

Dalam pilihan raya umum lalu, PAS, ketika itu bersama Pakatan Rakyat, menang 68.2 peratus undi.

Jerlun, kira-kira 10 minit dari bandar Kuala Kangsar, adalah kawasan majoriti Cina terbesar di kawasan parlimen itu.

Mercun BN sudah berdentum

6.30PM Sg Besar – Penyokong Umno kelihatan bermain mercun dekat pusat gerakannya.

Kiraan tidak rasmi pada masa ini menunjukkan calonnya di depan, diikuti AMANAH dan PAS di tempat ketiga.

Ketua Umno bahagian Jamal Md Yunos dalam kumpulan  WhatsApp berkata BN sudah menang seawal jam 5.30 petang tadi.

Polis bagaimanapun kemudian datang dan merampas mercun-mercun itu.

AMANAH di tempat kedua, kejar BN

6.30: AMANAH terus jarakkan diri daripada PAS dan mengejar di belakang BN.

SUNGAI BESAR
BN 1638
PAS 430 
AMANAH 972

KUALA KANGSAR
BN 1067
PAS 309
AMANAH 797
BEBAS 8

Kiraan awal BN di depan

6.10pm Kiraan awal mendapati BN mendahului di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

SG BESAR
BN: 502
PAS: 184
AMANAH: 391

KUALA KANGSAR
BN: 289
PAS: 98
AMANAH: 92
BEBAS: 4
 

74% mengundi di Sg Besar 

5.38pm: Sg Besar - Peratusan keluar mengundi sehingga jam 5.00 petang (tutup) sebanyak 74 peratus. Ini tidak termasuk undi awal dan undi pos.

Dalam pilihan raya umum 2013 lalu, peratusan keluar mengundi  sebanyak 88 peratus.
 

71% mengundi di K Kangsar

5.29pm: Kuala Kangsar - Peratusan keluar mengundi sehingga jam 5.00 petang (tutup) sebanyak 71 peratus. Ini tidak termasuk undi awal dan undi pos.

Dalam pilihan raya umum 2013 lalu, peratusan keluar mengundi  sebanyak 84.1 peratus.

Peti undi ditutup

5pm: Semua pusat pengundian bagi pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar ditutup selepas 13 hari kempen sengit untuk memenangi hati dan minda pengundi.

Bertentangan dengan jangkaan sebelum ini, peratusan keluar mengundi dianggap tinggi.

Anggota Suruhanjaya Pilihan Raya sekarang sedang mengira undi bagi kedua-dua kerusi Parlimen yang keputusannya akan memberi isyarat yang jelas sama ada kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ataupun pembangkang.

Pengkritik Najib termasuk mentor yang kini menjadi seterunya, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa pengundi untuk menganggap pilihan raya kecil sebagai pungutan suara ke atas perdana menteri.

Keputusan juga bakal mencerminkan apa yang menurut penganalisis politik percaya sebagai kekecewaan dan keletihan dengan pertengkaran parti-parti pembangkang akan menjadi kenyataan.

Pertandingan bagi merebut kerusi kawasan majoriti Melayu juga penting kepada PAS dan parti serpihannya, AMANAH.

Baru setahun jagung, PAS menuduh AMANAH sebagai boneka DAP yang mahu membolot undi orang Melayu.

Di Sungai Besar, calon BN Budiman Mohd Zohdi berdepan dengan calon AMANAH Azhar Abdul Shukur, dan calon PAS Dr Abdul Rani Osman.

Sementara itu di Kuala Kangsar, BN meletakkan Datin Mastura Mohd Yazid mempertahankan kerusi arwah suaminya menentang ahli fizik nuklear AMANAH Dr Ahmad Termizi Ramli, calon PAS Dr Najihatussalehah Ahmad dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Dua kekosongan itu wujud apabila penyandangnya Tan Sri  Noriah Kasnon (Sungai Besar) dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (Kuala Kangsar) terbunuh bersama-sama dengan empat yang lain dalam nahas helikopter baru-baru ini.

Sungai Besar

Sungai Besar By-Election Polling Day

Kuala Kangsar

Kuala Kangsar By-Election Polling Day