Pilihanraya Kecil Sungai Kandis
Laporan Langsung Akan dikemaskini dalam 19s
Terima kasih kerana ikuti liputan langsung Malaysiakini
10.40pm- Ini laporan terakhir lintas langsung blog pilihan raya kecil Sungai Kandis. Ikuti laman web kami di sini untuk lebih banyak berita dan pandangan.
ANALISA KILAT: Penyokong PAS pecah dua: BN, HARAPAN
10pm - BN mungkin akan mendakwa mendapat "kemenangan moral" meskipun kalah dalam pilihan raya kecil Sungai Kandis dengan menunjukkan undi majoriti PKR yang dikurangkan.
PKR menang dengan majoriti 5,842 undi berbanding majoriti 12,480 undi pada pilihan raya umum lepas.
Walau bagaimanapun, majoriti bukanlah kayu ukur yang boleh dipercayai kerana peratus keluar mengundi yang luar biasa rendah.
Peratusan keluar mengundi bagi DUN Sungai Kandis pada pilihan raya umum ke-14 dianggarkan berada pada 85.8 peratus.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, peratusan kali ini berada pada 49.4 peratus.
Undi PKR meningkat daripada 55.6 peratus pada PRU14 kepada 61.4 peratus pada pilihan raya kecil ini, peningkatan sebanyak 5.8 peratus.
Walau bagaimanapun, bahagian undi yang diperolehi BN juga meningkat daripada 26.7 peratus pada PRU14 kepada 38.2 peratus dalam PRK ini, naik sebanyak 11.5 peratus.
Ini mungkin disebabkan penyokong PAS berpecah sokongannya kerana mengundi calon Pakatan Harapan dan BN.
Pada PRU14 lalu, peratusan undi yang diperolehi PAS adalah 17.5 peratus.
Data menunjukkan sokongan pemimpin tertentu PAS kepada BN sangat membantu.
Walau bagaimanapun, ia juga menunjukkan bahawa PAS tidak dapat mengalikan semua sokongannya kepada BN.
Bagi penyokong PAS yang mengundi, kira-kira satu pertiga memilih HARAPAN manakala dua pertiga memilih BN.
Dikatakan ramai juga yang memilih untuk tidak mengundi.
Senario ini menjadikan pilihan raya kecil Sungai Kandis sebagai tugas berat untuk BN sejak permulaan kempen lagi kerana walaupun semua undi BN dan PAS digabungkan dalam pilihan raya umum ke-14, PKR masih akan menang.
Selanjutnya, kelihatan penyokong PKR dan BN tidak muncul beramai-ramai, menyumbang kepada jumlah keluar mengundi yang rendah dalam sejarah.
Kedua-dua pihak telah memberikan pelbagai alasan untuk ini, tetapi ia mungkin disebabkan oleh keletihan pilihan raya selepas hanya dua bulan lalu negara menghadapi PRU14 dan hakikatnya PRK Sungai Kandis tidak akan memberi kesan kepada keseimbangan kuasa dalam DUN.
RASMI: SPR umum kemenangan PKR
9.30pm - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi mengumumkan kemenangan PKR dalam pilihan raya kecil Sungai Kandis.
Calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni menang dengan majoriti 5,842 undi terhadap Lokman Noor Adam daripada BN.
Mengikut keputusan akhir, PKR memperoleh 15,427 undi berbanding 9,585 undi untuk BN.
Sementara itu, calon bebas K Murthy menerima 97 undi.
SPR juga berkata terdapat 173 undi rosak.
SPR memaklumkan keputusan rasmi menunjukkan jumlah pemilih keluar mengundi berada pada 49.4 peratus.
KJ tak setuju jalinan kerjasama Umno-PAS
9.20pm - Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyokong gesaan supaya Umno tidak bekerjasama dengan PAS, terutamanya dalam pilihan raya kecil Seri Setia yang akan datang.
"Inilah caranya (tidak benarkan PAS tanding di Seri Setia) kerjasama taktikal ini bukan kaedah (menguntungkan) pada masa hadapan," tegasnya sambil memberi maklum balas kepada pengguna media sosial yang mengatakan Umno tidak sepatutnya membiarkan PAS bertanding di Seri Setia.
Pengguna media sosial bernama Allif, pula mendesak Umno untuk menghalang tokoh kontroversi daripada turun berkempen di DUN Seri Setia.
Zawawi tiba di pusat pengiraan SPR, disambut penyokong
9.15pm - Menjelang pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kemenangannya, calon PKR, Zawawi Ahmad Mughni tiba di pusat pengiraan dan disambut para penyokongnya yang menghulurkan tangan untuk bersalaman.
Presiden AMANAH Mohamad Sabu kelihatan telah berada di dewan itu. Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shaari dijangka tiba tidak lama lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya juga akan mengadakan sidang akhbar selepas pengumuman rasmi dibuat.
Di luar dewan, penyokong PKR dan HARAPAN dengan sabar menunggu pengumuman itu.
BN rampas tiga pusat daerah mengundi, kalah satu
9.15pm - Data awal menunjukkan BN merampas tiga pusat daerah mengundi (PDM) daripada PKR manakala PKR pula mengambil satu PDM daripada BN.
Secara keseluruhan, terdapat 19 pusat daerah mengundi di kerusi DUN Sungai Kandis.
PDM yang dirampas BN daripada PKR ialah pusat daerah mengundi Johan Setia, Seri Gambut dan Kampung Bukit Naga.
Menurut data tidak rasmi pilihan raya kecil ini, BN menang PDM Johan Setia dengan 1,190 undi berbanding 1,158 undi PKR, PDM Seri Gambut dengan 420 undi berbanding 318 undi PKR dan PDM Kampung Bukit Naga dengan 496 undi berbanding 426 undi PKR.
Ketiga-tiga pusat daerah mengundi ini mempunyai pengundi PAS yang besar dan dimenangi PKR pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Pada PRU14, PKR menang Johan Setia dengan 1,467 undi berbanding 1,375 undi untuk BN, Seri Gambut dengan 419 undi berbanding 410 undi BN dan Kampung Bukit Naga dengan 540 undi berbanding 493 undi BN.
PAS menang dengan masing-masing memperolehi 884, 236 dan 303 undi di kawasan pusat daerah mengundi di atas dalam PRU14.
Bagi pusat daerah mengundi Sungai Kandis (bukan nama DUN) yang dirampas PKR daripada BN dalam pilihan raya kecil ini, calon HARAPAN itu menang dengan 668 undi kepada 634 undi pembangkang.
Pada pilihan raya umum ke-14, BN memenangi daerah pengundian Sungai Kandis dengan 687 undi kepada PKR mendapat 615 undi manakala PAS menerima 481 undi.
PDM Sungai Kandis pula merupakan salah satu daripada dua pusat daerah mengundi yang dimenangi BN pada pilihan raya umum lepas.
Pada PRK kali ini BN hanya dapat mengekalkan PDM Kampung Pandan.
Dalam pilihan raya kecil ini, BN menang empat daripada 19 pusat daerah mengundi, walaupun sedikit.
Tak ramai keluar mengundi, bawah 49.8 peratus
8.30pm - Timbalan Pengerusi SPR Tan Sri Othman Mahmood mengatakan peratusan keluar mengundi (tidak rasmi) adalah 49.8 peratus.
Jumlah keluar mengundi di bawah 50 peratus ini, jauh di bawah jangkaan SPR dan Institut Darul Ehsan (IDE) Selangor.
Sebelum ini, SPR menyasarkan jumlah keluar mengundi sebanyak 80 peratus, manakala IDE dalam kajiannya berkata 81 peratus pengundi 'tak sabar untuk mengundi'
Kajian IDE berdasarkan tinjauan yang dijalankan pada 11 dan 12 Julai lalu.
TAK RASMI: PKR menang di Sungai Kandis
8.05pm - Malaysiakini mendapati PKR memenangi PRK Sungai Kandis memandangkan mustahil bagi BN mengejar kedudukan undi setakat undi.
Ketika laporan ini ditulis, undi tidak rasmi untuk PKR adalah 12,984 undi berbanding BN memperoleh 7,774 undi manakala calon bebas menerima 87 undi.
Dianggarkan 25,765 daripada 51,217 pengundi layak mengundi dalam pilihan raya kecil ini.
Ini bermaksud hanya 4,920 lagi undi belum dikira. Walaupun BN memenangi keseluruhan undi yang tinggal, mereka tidak akan memenangi PRK ini.
Kadar terendah dalam sejarah
8pm - Peratusan keluar mengundi dianggar 50.31 peratus, dan ini merupakan antara jumlah terendah dalam PRK sepanjang sejarah Malaysia,
Kosmo! memetik sumber SPR berkata hanya 25,765 daripada 51,217 pengundi keluar mengundi sehingga pusat pengundian ditutup.
BN menang di Seri Gambut
7.35pm - BN merampas kawasan majoriti pengundi Melayu di Seri Gambut dari PKR. BN memenangi pusat daerah mengundi itu dengan 420 undi menewaskan PKR yang memperoleh 318 undi, manakala calon bebas tidak menerima sebarang undi
Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, PKR memenangi PDM itu dengan perbezaan sembilan undi apabila parti itu mendapat 419 undi dan BN menang 410 undi manakala PAS memperoleh 236 undi.
Pada masa itu, undi kepada PKR ialah 39.30 peratus.
Analisis awal menunjukkan peratusan undi BN dan PKR meningkat tetapi BN meningkat pada kadar yang lebih tinggi.
Ini mungkin disebabkan lebih banyak penyokong PAS beralih kepada BN berbanding PKR.
Bagaimanapun ini adalah kawasan PDM yang kecil dan tidak semestinya mencerminkan trend pengundian keseluruhan.
Belum tahu lagi, kata Mat Hasan
7.15pm- Di bilik operasi BN, timbalan presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan percaya masih terlalu awal untuk mengumumkan pemenang.
"Kita belum tahu keputusannya," katanya.
Beliau dalam pada itu memuji SPR kerana menambah satu lagi saluran mengundi di pusat daerah mengundi Bukit Jati disebabkan pengundi yang ramai.
“Ini memudahkan orang mengundi dan tidak menyusahkan orang ramai menunggu terlalu lama untuk undi.
“Saya berpendapat SPR telah banyak buat perubahan dengan menambah jumlah saluran di PRK Sungai Kandis. Ini keputusan yang baik,” katanya.
Setiap saluran memuatkan maksimum 500 pengundi.
Suasana pesta di bilik gerakan PKR
7pm - Di luar bilik gerakan PKR, para penyokong berkumpul untuk melihat skrin yang memaparkan keputusan tidak rasmi dari pelbagai daerah mengundi.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Hee Loy Sian antara yang dilihat menyertai orang ramai.
"Salah satu faktor keluar mengundi yang rendah pada hari ini adalah kerana sebuah parti telah 'memboikot' pilihan raya ini
"Saya menerima maklumat bahawa ahli mereka tidak berpuas hati dengan rancangan untuk bekerjasama dengan Umno," katanya kepada Malaysiakini.
Dari dalam bilik gerakan itu, ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri mengumumkan keputusan seperti yang dilihat. Turut dilihat berada dalam bilik itu ialah Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.
"Tepuk lagi kuat," kata Azmizam.
"Andalas sapu bersih!" sorak seorang penyokong lain.
PKR dahului kiraan awal
6.30pm - PKR mendahului pengiraan awal apabila pengiraan undi bermula.
Pada masa ini, PKR memperoleh 1,776 undi berbanding BN 556 undi, manakala calon bebas memperoleh 26 undi.
Perkara ini tidak mengejutkan kerana undi awal setakat ini datang dari kawasan yang merupakan kubu kuat PKR.
Di kawasan daerah-daerah mengundi ini, penyokong PKR pada PRU14 lalu dilihat masih setia dengan parti mereka.
Bagaimanapun, jumlah keluar mengundi yang rendah mungkin mengurangkan majoriti mereka.
Mungkin rekod terendah
6pm- Peratusan keluar mengundi hari ini dijangka paling rendah sejak 2004.
Kali terakhir pilihan raya kecil di Malaysia adalah pada 2016 iaitu bagi kerusi parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, masing-masing menyaksikan jumlah sebanyak 74.29 peratus dan 71.3 peratus.
Pilihan raya kecil yang tidak disertai BN sebelum ini juga mencatatkan peratusan keluar mengundi yang rendah.
Misalnya pada PRK Bukit Gelugor pada 2014 yang menyaksikan peratusan keluar mengundi hanya 56.27 peratus.
Jangkaan peratusan keluar mengundi rendah
5.30pm - Pengundian untuk pilihan raya kecil Sungai Kandis ditutup secara rasmi.
Peratusan keluar mengundi setakat jam 4 petang adalah sebanyak 45 peratus.
Malaysiakini menganggarkan jumlah pengundi keseluruhan yang keluar mengundi sekitar lebih 50 peratus.
Ini berbeza dengan anggaran 85.8 peratus semasa pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Peratusan keluar mengundi bagi PRK kebiasaannya lebih rendah daripada PRU.