Malaysiakini

Keputusan Pilihanraya

Laporan Langsung

Dikemaskini dalam 18s

Terima kasih kerana ikuti liputan langsung Malaysiakini

11.25pm - Terima kasih kerana mengikuti liputan langsung Malaysiakini bagi pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson. Laporan disediakan oleh Kow Gah Chie, Shakira Buang, Geraldine Tong, dan Wong Kai hui. Video disediakan oleh Baharudin Suarnur and Mohamed Azfar Afandi Zulkfley. Analisis oleh Nigel Aw dan Andrew Ong. Paparan laman ini disediakan oleh Aizu Ikmal Ahmad dan Sean Ho. Kandungan media sosial oleh Ewe Ling Yenn dan Norman Goh.

Sokong usaha kami untuk menyediakan laporan bebas dengan melanggan Malaysiakini pada harga serendah RM0.41 sehari. Butiran di sini.

Pengerusi SPR gesa peraturan pilihan raya diperbaiki

10.30pm - Pengerusi SPR Azhar Harun percaya undang-undang pilihan raya perlu diperbaiki bagi mengatasi pelbagai kelemahan.

Ketika bercakap kepada pemberita, Azhar berkata beberapa undang-undang berknaan tidak jelas dan boleh dipertikaikan.

"Dalam agenda pembaharuan, kita perlu menumpukan untuk menjadikan peraturan ini lebih jelas agar semua orang boleh faham. Jadi pada masa depan, tak ada ruang untuk pertikaian," katanya.

Sebagai contoh, tambahnya, undang-undang sedia ada tidak berkesan ke atas pemberian ganjaran oleh pihak ketiga dalam tempoh berkempen.

Azhar juga berkata terdapat penyokong parti politik yang berkempen pada hari pengundian, namun undang-undang sedia ada tidak membenarkan SPR mengambil tindakan.

Anwar terharu sokongan pelbagai kaum

10.15pm - Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau terharu dengan sokongan yang diterima daripada rakyat pelbagai kaum di Port Dickson.

"Saya sudah tentu sangat gembira dan terharu dengan keputusan ini. Kita mencapai 70 peratus undi popular," katanya.

Pada PRU lalu, HARAPAN menang 59 peratus undi.

"Apa yang mengejutkan saya adalah kita berjaya mendapat sokongan dariapada semua kaum," tambah Anwar.

Anwar juga berkata bahawa tentera menunjukkan sokongan yang meyakinkan terhadap HARAPAN, yang merupakan peningkatan berbanding PRU lalu.

Saiful: Ini bukan pernghujungnya

10.10pm - Calon bebas Saiful Bukhari Azlan, yang mendapat undi paling sedikit dalam PRK Port Dickson berkata perjalanannya baru bermula.

"Ini bukan penghujungnya. Perjalanan saya baru bermula. Saya akan terus ke depan, dan tetap tegas dengan perjuangan dan prinsip," katanya dalam satu kenyataan.

Saiful juga berkata keseluruhan anggota kempennya yang terdiri daripada 12 orang berjaya menghabiskan PRK berkenaan tanpa pernah berputus asa.

Analisis awal: Peralihan undi pada HARAPAN

10.00pm - Tujuh daripada 32 daerah mengundi di Port Dickson menyaksikan peningkatan undi kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) meskipun peratusan keluar mengundi rendah.

Kesemua peningkatan itu terjadi di daerah mengundi majoriti Melayu.

Daerah mengundi berkenaan adalah Kampung Jimah Baru (90 peratus pengundi Melayu), Sunggala (57.1 peratus), Kampung Bagan Pinang (90 peratus), Si Rusa (87.4 peratus), Teluk Kemang (74.8 peratus), Kampung Sungai Raya (92.7 peratus) dan Bandar Baru Sunggala (69 peratus).

Peningkatan undi di kawasan berkenaan adalah pada kadar 4,3 peratus hingga 25.6 peratus.

Bagaimanapun, perlu diperhatikan bahawa keputusan PRK ini juga memberi gambaran sejumlah pengundi, yang dijangka adalah penyokong BN, memboikot dari turun mengundi.

Bagi 25 daerah mengundi lain, HARAPAN menang dengan peratusan undi yang tinggi, namun dengan jumlah yang lebih kecil susulan peratusan keluar mengundi yang rendah.

Anwar angkat sumpah Isnin

9.35pm: Susulan kemenangan di PRK Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mengangkat sumpah di Dewan Rakyat Isnin ini.

Pada hari sama juga, sesi parlimen terakhir bagi tahun ini akan mula bersidang.

Anwar dijangka menyertai perbahasan bajet pertama Pakatan Harapan.

Ribuan penyokong HARAPAN rai Anwar di PD

9.30pm: Ribuan penyokong HARAPAN berkumpul di pekarangan bilik gerakan utama mereka, di PD Waterfornt, Port Dickson.

Kehadiran mereka bagi meraikan kemenangan calon HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menewaskan tujuh lawannya.

Anwar yang baru diangkat sebagai anggota parlimen Port Dickson itu dijangka akan terus ke bilik gerakan utama HARAPAN di PD Waterfront dari pusat pengiraan undi.

Anwar dijangka akan memberi ucapan di hadapan penyokongnya sebelum mengadakan sidang media.

Rasmi: Anwar menang besar

9.20pm - Calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi PRK Port Dickson selepas meraih 31,016 undi, seperti diumumkan SPR.

Anwar mendapat 23,560 undi majoriti ke atas pesaing terdekatnya, calon PAS Mohd Nazari Moktar yang memperoleh 7,456 undi. Calon bebas Tan Sri Mohd Isa Samad berada di tempat ketiga dengan 4,230 undi.

Menurut SPR, peratusan keluar mengundi adalah 58.25 peratus.

Anwar tiba di pusat pengiraan undi

8.50pm - Calon HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di pusat pengiraan undi.

Pemimpin PKR itu yang dilihat tersenyum memeluk penyokong yang menunggunya di pusat pengiraan undi berkenaan.

Anwar ditemani Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Xavier Jayakumar.

SPR dijangka mengumumkan keputusan PRK Port Dickson sebentar lagi.

Anwar menang, Saiful tercorot: Ramalan IDE tepat

8.45pm - Ramalan yang dibuat oleh Institut Darul Ehsan (IDE) bagi PRK Port Dickson dilihat tepat. Badan kaji selidik negeri Selangor itu sebelum ini menjangkakan calon HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meraih 74 peratus undi. Keputusan (tidak rasmi) hampir 71.27 peratus.

IDE juga sebelum ini meramal calon bebas Saiful Bukhari Azlan akan berada di tempat tercorot.

Saiful hanya memenangi 112 undi, iaitu 0.26 peratus daripada undi keseluruhan. Satu per tiga daripada undi yang diterima Saiful adalah daripada pengundi awal dan pengundi pos.

SPR umum peratus keluar mengundi 58.3%

8.30pm: SPR mengumumkan peratus keluar mengundi sebanyak 58.3 peratus.

Pada PRU 9 Mei lalu, peratus keluar mengundi bagi parlimen berkenaan adalah 83.16 peratus.

Bagaimanapun, peratus keluar mengundi itu lebih tinggi berbanding tiga PRK sebelum ini.

Anwar tawan 4 daerah mengundi BN

8.25pm - Calon HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menawan empat daerah mengundi yang dimenangi BN pada PRU lalu. 

Daerah mengundi itu ialah Kampong Jimah Baru, Si Rusa, Linggi dan Kampung Sungai Raya.

Meskipun perkadaran undi HARAPAN di empat kawasan ini lebih tinggi pada PRK kali ini, jumlah undi yang diterima gabungan itu dan PAS hampir sama.

Sebagai contoh, di Kampung Jimah Baru, HARAPAN mendapat 265 undi, diikuti PAS (136), dan calon bebas Tan Sri Mohd Isa Samad (90).

Pada PRU 9 Mei lalu, BN memperoleh 367 undi, sementara HARAPAN 211 dan PAS 136.

Ini bererti peralihan undi kepada HARAPAN lebih rendah dan memberi gambaran penyokong BN memboikot PRK berkenaan.

Stevie Chan: Anwar aset dalam badan legislatif negara

8.20pm - Calon bebas Stevie Chan akur dengan kekalahan dan mengucapkan tahniah kepada calon HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi pemenang.

"Meskipun saya tetap berpendapat bahawa Langkah PD tidak beretika, tidak perlu, dan dilakukan pada masa yang tidak sesuai, saya percaya Anwat akan menjadi aset dalam badan legislatif kita.

"Saya harap dia pertahankan prinsip agenda HARAPAN dan menjaga harapan kita pada Malaysia baru," katanya dalam kenyataan hari ini.

PAS dijangka mampu kekalkan deposit

8.15pm - Calon PAS Mohd Nazari Mokhtar dijangka mampu mengekalkan depositnya.

Pada PRU 9 Mei lalu, calon PAS Mahfuz Roslan gagal meraih 12.5 peratus undi untuk mengekalkan depositnya.

Calon bebas lain, selain bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Samad, akan kehilangan deposit.

Deposit untuk kerusi parlimen yang ditetapkan SPR ialah RM10,000 untuk setiap calon.

Annuar ucap tahniah pada bakal PM

8.05pm: Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipilih sebagai wakil rakyat Port Dickson yang baru.

"Tahniah bakal PM," katanya melalui Twitter.

Bagaimanapun, Annuar berkata beliau menjangkakan presiden PKR itu meraih 30,000 undi majoriti.

"Saya ramal 30,000 majoriti. Tak tepat tapi sebaliknya undi yang dapat kira kira 30,000 ok la tu. Yang diperolehi, kurang dari sasaran. Dalam saingan one-sided walaupun tak sampai 40% dari jumlah kesemua pengundi di PD," katanya.

Calon bebas: Saya tak perlu mengaku kalah

7.55pm - Calon bebas Myocho Kan mendakwa dia tidak perlu mengaku kalah kerana dia sudah tahu akan kalah sejak mula.

"Saya tak mengaku kalah. Saya sudah menjangkakan kekalahan jadi tak perlu mengaku kalah lagi. Saya sudah terima bahawa saya akan kalah sejak dari mula dan saya gembira dengan proses (PRK)," katanya kepada Malaysiakini.

Myocho Kan turut menambah bahawa dia menimba pengalaman selama berkempen dan berjaya mendapat publisiti media.

"Ramai yang fikir menang PRK satu-satunya kemenangan namun sebenarnaya pengalaman menyertai PRK, terutamanya dari segi publisiti, dan prinsip yang kita mahu suarakan, ia adalah kemenangan yang kita dapat peroleh," katanya.

Undi PAS meningkat

7.45 pm - PAS memperoleh 7,292 undi, melebihi undi yang diterima pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Pada PRU lepas, parti itu hanya menerima 6,594 undi.

Ini secara umum memberi gambaran pengundi PAS kekal mengundi parti itu sementara ketiadaan BN membantu meningkatkan jumlah undi kepadanya.

Pada pilihan raya umum lepas, BN mendapat 18,515 undi.

Barbeku di Bilik Gerakan HARAPAN 

7.40pm - Bilik Gerakan Pakatan Harapan, Port Dickson Waterfront: Tempat barbeku dibina di belakang khemah.

Salah seorang lelaki yang mengendalikan kelengkapan barbeku itu memberitahu Malaysiakini mereka akan memanggang ayam dan daging untuk orang ramai di sini.

"Saya fikir lepas solat kita dah ready. Kita sudah lapar, "katanya.

Ditanya siapa yang menaja barbeku itu, beliau berkata ia adalah sumbangan orang ramai.

"Ia bukan dari wang parti," tambahnya.

Malaysiakini anggap Anwar sudah menang PRK PD

7.30 pm - Kiraan tidak rasmi menunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi pilihan raya kecil Port Dickson.

Anwar kini memperoleh 22,897 undi. Dengan mengandaikan jumlah keluar mengundi adalah sebanyak 60 peratus, jumlah itu sudah memadai untuk mengisytiharkan kemenangan terhadap Anwar.

Terdapat seramai 75,770 pengundi yang layak mengundi pada pilihan raya kecil ini. Anggaran 60 peratus keluar mengundi adalah bersamaan 45,462 pengundi.

Dengan Anwar sudah mendapat lebih separuh daripada undi yang ada, mustahil pihak lawannya akan dapat menyaingi undi yang diperolehinya.

Kemenangan Anwar di kubu BN

7.25pm - Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya memenangi 42.73 peratus undi di kawasan mengundi Sungai Raya yang dimenangi BN pada pilihan raya umum 9 Mei.

Calon PAS Mohd Nazari menduduki tempat kedua dengan 32.34 peratus daripada jumlah undi diikuti calon bebas Tan Sri Isa Samad (24.43 peratus).

PAS melakukan lebih baik pada pusingan kali ini dengan memenangi 327 undi, meningkat daripada 275 undi berbanding 9 Mei.

Anwar dijangka sapu bersih di semua daerah mengundi

7.20pm - Calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menang di semua 32 daerah mengundi dalam pilihan raya kecil ini, bersama-sama undi pos dan undi awal.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, BN menang empat daripada 32 daerah mengundi.

Sekali lagi, kiraan tidak rasmi juga menunjukkan kebanyakan penyokong BN tidak keluar mengundi pada pilihan raya kecil ini.

Anwar mendahului jauh

7.10pm - Undi diterima Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa ini ialah 69.52 peratus berdasarkan kiraan tidak rasmi.

Pencabar terdekatnya ialah calon PAS 'Mohd Nazari, yang memperoleh 18.53 peratus undi.

MB yakin Anwar menang majoriti 70 peratus

7.00pm - Bilik Gerakan Pakatan Harapan, Port Dickson Waterfront.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun yakin Pakatan Harapan menang PRK Port Dickson dengan majoriti 70 peratus.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada anggota tentera kerana memihak kepada HARAPAN.

"Ia adalah perkara biasa. Mungkin kerana kita adalah kerajaan yang memerintah supaya mereka setia kepada tugas mereka dan tiada masalah.

"Kami mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka dan harap ia berterusan," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, kira-kira 300 orang berkumpul di bawah khemah untuk menyaksikan keputusan tidak rasmi.

Mereka bersorak setiap kali melihat undi majoriti bagi calon HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim meningkat.

Dua kawasan majoriti India kekal undi HARAPAN

6.55 pm - Dua Pusat Daerah Mengundi majoriti India - Ladang Sengkang dan Ladang Atherton - menyaksikan calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoeh undi besar

Menariknya, bilangan undi yang diperoleh HARAPAN hampir sama dengan apa yang diperoleh gabungan itu semasa pilihan raya umum 9 Mei.

Kedua-dua daerah mengundi itu menyaksikan calon bebas, Tan Sri Mohd Isa Samad di tempat kedua, diikuti calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar.

Keputusan ini menunjukkan kebanyakan mereka yang mengundi BN pada PRU lalu tidak hadir untuk mengundi.

Peningkatan ketara undi HARAPAN di PDM Sunggala

6.40pm - Calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh 96 undi atau 70 peratus daripada jumlah undi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sunggala, yang menunjukkan peningkatan ketara.

Beliau diikuti calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar yang mendapat 25 undi (18.25 peratus).

HARAPAN memperoleh empat undi pada Pilihan Raya Umum 9 Mei lalu, sama seperti PAS.

Keputusan ini menunjukkan sebahagian besar daripada 75 individu yang mengundi BN pada 9 Mei lalu tidak hadir untuk mengundi hari ini.

Anwar peroleh 55 peratus undi awal, pos

6.15pm - Calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh 2,576 atau 55.65 peratus undi awal dan pos. Pengundi awal dan pos adalah anggota tentera.

Undi diterima HARAPAN daripada pengundi awal dan pengundi pos meningkat 36.3 peratus sejak pilihan raya umum (PRU) pada 9 Mei.

Calon PAS 'Mohd Nazri Mokhtar mengekori tempat kedua dengan mendapat 1,843 undi atau 39.81 peratus daripada jumlah undi. Undi PAS meningkat sebanyak 12.1 peratus jika dibandingkan dengan PRU pada 9 Mei.

Calon bebas, Tan Sri Mohd Isa Samad di tempat ketiga dengan memperoleh 157 undi (3.39 peratus) sementara selebihnya empat calon bebas masih memperoleh dua angka.

Jumlah pengundi pos dan pengundi awal bersamaan kira-kira 63.7 peratus. Terdapat 7,264 pengundi pos atau pengundi awal pada PRK ini.

Pada PRU14, BN menang 51.88 peratus undi awal dan undi pos diikuti HARAPAN (29.16 peratus) dan PAS (19.96 peratus).

PAS salahkan Dr M punca keluar mengundi rendah

5.45pm - SK Port Dickson: Calon PAS Mohd Nazari Mokhtar mendakwa peratusan keluar menggundi yang rendah hari ini merupakan tanda bantahan terhadap kerajaan Pakatan Harapan, terutama selepas perdana menter berkata adalah mustahil untuk menghapuskan tol.

Selain itu katanya pengundi dari luar juga tidak pulang ke kampung halaman mereka kerana tidak mempunyai kos mencukupi memandangkan PRK ini diadakan di pertengahan bulan.

Pusat pengundian ditutup

5.30pm - Pusat pengundian ditutup secara rasmi. Pilihan raya kecil Port Dickson menyaksikan peratusan keluar mengundi yang lebih baik selepas tiga pilihan raya kecil sebelum ini mencatatkan peratusan keluar mengundi yang rendah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggarkan peratusan pengundi sebanyak 54 peratus setakat sehingga 4 petang, 90 minit sebelum pusat pengundian ditutup,.

Sebagai perbandingan, sehingga 4 petang, peratusan pengundi bagi pilihan raya kecil Sungai Kandis adalah 45 peratus manakala pilihan raya kecil Seri Setia dan Balakong masing-masing 41 peratus dan 39 peratus.

Jumlah sebenar akan hanya akan diumumkan selepas ini.

Peratusan pengundi bagi pilihan raya kecil Sungai Kandis ialah 49.4 peratus manakala pilihan raya kecil Seri Setia dan Balakong masing-masing 44.1 peratus dan 43 peratus.

Bagaimanapun, jumlah peratusan pengundi Port Dickson dijangka rendah berbanding pilihan raya umum apabila 83.16 peratus pengundi di Port Dickson keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

 

Laporan Lalu

  • Pilihanraya Kecil Seri Setia & Balakong

    8 Sep 2018

  • Pilihanraya Kecil Sungai Kandis

    4 Ogo 2018

Sorotan