11.10pm Jalan Tun Perak – Penganjur turut mendirikan dua pentas kecil, salah satu daripadanya merupakan pelantar lori pikap manakala satu lagi menggunakan papan lapis di depan stesen LRT Masjid Jamek.
Penganjur turut menggesa para peserta mengurangkan bunyi bising dan berhenti meniup vuvuzela kerana menggangu peserta yang ingin berehat.
10.25pm Simpang Jalan Tun Perak-Jalan Raja – Dianggarkan 10,000 orang masih cekal berhimpun sambil melaungkan slogan "Bersihkan negara" dengan dipimpin bekas pengerusi BERSIH, Datuk S Ambiga.
Para peserta yang keletihan dilihat berehat di perkarangan stesen LRT Masjid Jamek dan mengambil peluang untuk membeli makanan ringan dan minuman.
10.00pm Simpang Jalan Perak-Jalan Raja -- Seorang peserta, Koh Joo Joo mula bersiap-siap untuk bermalam di luar perimeter polis berhapiran Dataran.
Koh, 56, membuka beg tidur dan menyusun kelengkapan yang dibawa.
“Saya sangat letih dan ingin tidurlah tetapi sekitar sangat bising,” katanya kepada malaysiakini apabila ditemui.
Datuk kepada tiga orang cucu itu tiba berseorangan pada petang ini.
9.55pm Kuching – Polis merampas beberapa sepanduk yang mengandungi slogan dianggap sensitif daripada peserta BERSIH 4 di padang Song Kheng Hai.
Laporan Bernama menyebut, Ketua Polis Kuching ACP Roslan Bek Ahmad berkata rampasan itu dibuat sebelum peserta memasuki padang.
Polis turut menasihat peserta yang membawa kanak-kanak supaya menghantar mereka pulang ke rumah sebelum menyertai perhimpunan.
9·30pm Jalan Tunku Abdul Rahman – Kumpulan aktivis Johor Yellow Flame menayangkan filem 'Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka' menggunakan projektor dan skrin mudah alih di atas sebuah lori pikap.
Tayangan ini mendapat perhatian sekurang-kurangnya 50 orang peserta BERSIH 4 yang duduk melingkungi lori tersebut.
Salah seorang wakilnya Ng Yap Hwa berkata filem karya Fahmi Reza itu "memberi pandangan alternatif kepada rakyat tentang sejarah sebelum merdeka”.
9.35pm Jalan Raja - Mohamad Sabu mendirikan dua buah khemah di hadapan sekatan polis.
Katanya, beliau akan bermalam di situ bersama para peserta BERSIH pada malam ini.
Tindakan itu bertentangan dengan arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang tidak mahu para peserta mendirikan khemah.
Mohamad memberitahu wartawan, beliau ingin memastikan para peserta tidak melanggar sekatan dan memasuki kawasan Dataran Merdeka.
9.22pm Simpang Jalan Raja-Jalan Parlimen – Pemimpin GHB, Mohammad Sabu dalam ucapannya gambarkan Jho Low sebagai usahawan yang mencuri wang.
Beliau dengan berjenaka berkata, isteri PM, Rosmah Mansor akan "kurus" jika melihat jumlah hadirin pada malam ini.
Katanya, Najib kini lebih teruk dari Mahathir.
"Walapun dia (Mahathir) menghadapi beberapa isu, beliau berpendapat Najib lebih teruk dari dia," katanya yang disambut dengan ketawa oleh para hadirin.
9.20pm Melaka – Polis menahan 20 orang individu yang memakai baju kuning dengan logo BERSIH.
Salah seorang peserta yang ditahan, Lee Ling Kit berkata mereka dibawa ke IPD Melaka Tengah.
Terdahulu, beliau bersama kira-kira 100 yang lain berkumpul di Dataran Pahlawan, Bandar Melaka sekitar jam 8.20 malam, katanya.
Menurutnya, polis menjalankan siasatan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan kenyataan pihak polis.
9pm: Tian Chua memberitahu Malaysiakini, kedatangan Mahathir menunjukkan bekas PM itu sendiri memberi sokongan kepada BERSIH.
Ia juga menunjukkan Mahathir akur bahawa saluran paling berkesan untuk membetulkan keadaan dan buat perubahan ialah melalui kuasa rakyat, katanya.
"Ini bagi saya satu kemenangan rakyat Malaysia dalam menarik sokongan dari semua pihak.
"Mahathir terpaksa juga akur kuasa rakyat itu ialah saluran paling berkesan."
8.50pm Simpang Jalan Raja-Jalan Parliament – Kumpulan siswa yang berhasrat untuk melakukan duduk bantah di parlimen meneruskan aksi mereka, kira-kira 1km dari parlimen.
Jurucakapnya, Khairol Najib Hashim berkata mereka akan meneruskan protes tersebut demi kebebasan siswa dan menyatakan sokongan pada BERSIH.
8.35pm: Jalan Raja – Mandeep Singh, aktivis BERSIH beri jaminan kepada polis bahawa para peserta tidak akan melepasi sekatan di Dataran Merdeka.
"Kami akan bekerjasama dengan polis untuk mengekalkan keamanan dan memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku dalam tempoh 28 jam."
Terdahulu, Mandeep menemui ketua polis daerah Dang Wangi, DSP Gurbinder Singh.
Anggaran peserta: 20,000 berhampiran Dataran
8.30pm: Dataran Merdeka - Pemerhatian di bawah dan dari udara menunjukkan terdapat kira-kira 20,000 peserta BERSIH 4 berhampiran atau di sekitar Dataran Merdeka.
8.00pm Dataran Merdeka: beribu-ribu peserta masih berada di Dataran Merdeka dan Jalan Tun Perak. Suasana masih hangat dan peserta BERSIH melaungkan "Bersih " dengan kuat dan bunyi vuvuzela masih kuat didengar.
Peserta masih kuat bersorak tetapi ada jug ayang duduk berehat di lantai dan melentang atau tidur di tepi jalan.
7.48pm Dataran Merdeka - Siti Hasmah Alli ketika diminta mengulas kehadirannya ke Dataran Merdeka berkata:
"Ini kuasa rakyat." [Baca lanjut]
6.40pm Dataran Merdeka – Enam trak FRU dan meriam air dilihat ditempatkan di sebelah selatan Dataran Merdeka. Kebanyakan peserta BERSIH berada di sebelah utara tapak bersejarah itu.
6.43pm Persimpangan Jalan Raja Laut-Jalan Raja - Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah memberi peringatan supaya orang ramai tidak merempuh halangan yang dibuat oleh pihak berkuasa.
"Kita tak akan sokong sesiapa yang rempuh barricade. Kalau nampak orang nak rempuh, halang dia. Kita tak akan masuk dalam Dataran," katanya.
Beliau meminta orang ramai supaya bermalam di persimpangan jalan dan tidak masuk ke kawasan Dataran.
6.20pm Jalan Tun Perak -Pasukan berbasikal BERSIH menjadikan sebuah tempat di Jalan Tun Perak untuk mengumpulkan sampah-sampah.
Kelihatan puluhan bungkusan sampah dilonggokkan setempat di tepi jalan.
Salah seorang anggota pasukan itu Shuk Yi berkata mereka menyediakan seratus ribu beg sampah dan kini telah mengumpul lebih kurang 8,000 unit.
Terdapat 25 orang sukarelawan berbasikal BERSIH.
6pm: Dataran Merdeka – Terdapat juga aktivis lesbian, gay, dwiseksual dan transgender (LGBT) hadir dalam perhimpunan sambil mengibarkan bendera pelangi – yang menjadi identiti golongan itu.
Mereka berkata kumpulan minoriti selalu terabai.
“Ini untuk beritahu bahawa kumpulan LGBT selalu berada di samping kamu,” kata Chong Yee Shan kepada Malaysiakini.
5.50pm: Dataran Merdeka - Pemimpin Jingga 13, Fariz Musa mengumumkan perhimpunan berehat seketika sebelum bersambung pada jam 9 malam ini
Peserta kelihatan mula bersurai ke pelbagai arah meninggalkan Dataran Merdeka.
5.45pm: Dataran Merdeka - Penganjur BERSIH 4 berkata jumlah kehadiran setakat ini ialah 200,000 orang.
"Ada 200,000 orang berkumpul secara aman di Kuala Lumpur untuk BERSIH 4. Tahniah kepada semua," kata kenyataan yang dibuat melalui platform Prime itu.
Sebelum ini Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa menganggarkan kehadiran - pada jam 3 petang tadi - adalah seramai 25,000 orang.
Anggaran Malaysiakini melalui wartawannya pula adalah 100,000 orang ketika kemuncaknya pada jam 4 petang.
5.40pm Jalan Raja - Seorang lelaki dari Pekan Pahang memberitahu, beliau hadir ke perhimpunan BERSIH 4 sebagai kesinambungan perhimpunan yang pernah dihadirinya.
Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Alimin berkata isu diketengah dalam BERSIH 4 lebih menarik berbanding dengan perhimpunan sebelum ini.
Alimi, 65, berkata yang akan bermalam di Dataran Merdeka hari ini.
"Dulu mengenai pilihan raya, sekarang ini mengenai pertukaran perdana menteri. Itu yang saya datang," katanya kepada Malaysiakini.
Harapan remaja 18 tahun
Bagi remaja Aisyah Borhan, 18, pula berkata, beliau datang bersama sepupunya ke BERSIH 4 kerana ingin menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Najib.
Sehubungan itu, beliau berharap supaya selepas perhimpunan ini diadakan, rakyat akan lebih sedar tentang kepimpinan yang ada kini.
"Harapan saya supaya rakyat lebih sedar dan pemimpin bertukar," katanya.
5.40pm: Pasar Seni - Sabiha Shamsul Barin adalah peserta BERSIH 4 yang datang dari Mantin, Negeri Sembilan.
Katanya, dia menyertai perarakan hari ini untuk menunjukkan golongan muda Melayu juga tidak berpuas hati dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
"Kerajaan Najib banyak kepincangan. Kami anak muda mahu dia letak jawatan," kata bekas siswi Universiti Malaya itu kepada Malaysiakini.
Daniel Jufry dari Kajang berkata dia dan tiga rakannya tiba di Kuala Lumpur untuk menunjukkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan.
Bernaju hitam, Daniel bagaimanapun kecewa kerana gagal mendapatkat kemeja T BERSIH.
"BERSIH 4 ini sangat bagus. Ramai yang mahu jatuhkan kerajaan (yang) mengamalkan rasuah," katanya.
Dia juga berjanji untuk datang sekali lagi pagi esok.
5.35pm: Dataran Merdeka - Sekumpulan peserta Melayu menafikan protes hari ini didominiasi orang Cina.
Seorang daripada mereka - mahu dikenali sebagai Idris - memberitahu Malaysiakini protes hari ini tidak wajar dilihat daripada pespektif bangsa.
"Ini adalah perhimpunan rakyat Malaysia.
"Kepada orang Melayu, jangan takut. Kita mesti menjatuhkan kerajaan BN yang korup," katanya.
Idris, 40-an, juga berkata dia akan bermalam di Dataran Merdeka bersama rakan-rakannya.
5.20pm: Dataran Merdeka - Dua kenderaa FRU diletakkan dalam kawasan Dataran Merdeka berhampiran Muzium Tekstil Negara. Turut kelihatan, dua kenderaan polis di sebelahnya.
Tidak dapat dipastikan sama kenderaan itu digunakan sebagai persediaan BERSIH 4 atau sebahagian daripada kegunaan raptai Hari Kebangsaan.
5.21pm: Dataran Merdeka - Seorang petugas perubatan yang enggan dikenali berkata, seorang peserta BERSIH 4 pengsan, mungkin disebabkan kadar gula dalam darahnya terlalu rendah atau terlalu tinggi.
"Mungkin dia tak tahu menghidap diabetes dan pengsan," katanya.
Petugas itu berkata, peserta terbabit dijangka pulih tidak lama lagi.
5.15pm: Dataran Merdeka - Polis Kuala Lumpur berkata mereka berpuas hati dengan cara perhimpunan hari ini dijalankan.
Ketuanya, Datuk Tajuddin Md Isa berkata polis berharap perhimpunan itu akan berlangsung aman hingga akhir.
Star Online melaporkan, polis menganggarkan jumlah kehadiran hari ini adalah 25,000 sehingga jam 3 petang tadi.
5pm: Dataran Merdeka - Raj, dari Subang, hari ini adala jperhimpunan keempat BERSIH disertainya.
"Najib (PM) kena turun, Kita mahu seluruh kabinet berubah. Buat sesuatu," katanya.
4.55pm: Pasir Gudang - Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih "memikirkan" sama ada akan turun menyertai perhimpunan BERSIH 4 atau tidak esok.
"Saya masih berfikir," katanya ketika ditanya wartawan sama ada beliau akan menyertai himpunan aman itu Ahad ini atau sebaliknya.
Terdahulu Mahathir menghadiri program Bicara Negarawan bertajuk "Malaysia hari ini: Ke mana kita” di Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor
Lebih 3,000 orang hadir.
4.30 pm: Dataran Merdeka - Aktivis masyarakat dan bekas Pengerusi BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata himpunan hari ini menghantar mesej yang jelas kepada kerajaan bahawa suara rakyat tidak boleh diabaikan.
Beliau juga mendakwa perhimpunan hari ini adalah BERSIH terbesar pernah diadakan setakat ini.
Selepas ucapan itu, ketua Jingga 13, Fariz Musa meminta poeserta duduk dan memberi laluan kepada petugas perubatan kerana ada seseorang diserang sakit janting.
Tidak dapat dipastikan di mana mangsa berada.
4.18pm: Dataran Merdeka - Pengerusi BERSIH, Maria Chin dalam ucapannya berkata, semua peserta perhimpunan hari ini datang kerana mereka adalah "rakyat Malaysia" untuk menyampaikan mesej kepada kerajaan.
Kata Maria, perdana menteri tidak bertanggungjawab kerana amalan rasuah berlaku dalam negara ini.
Beliau juga meminta ahli parlimen mengemukakan usul undi tidak percaya apabila sidang bersambung Oktober ini.
4.15pm: Dataran Merdeka - Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke yakin peserta BERSIH 4 akan dapat memenuhi pusat bandar raya malam ini.
"Saya tidak jangkakan polis akan bertindak menyuraikan peserta kerana ia terlalu berisiko dan boleh menyebabkan suasana panik," katanya kepada Malaysiakini.
4.10pm: Anggaran semasa jumlah peserta BERSIH 4 - 100,000 orang
4pm: Dataran Merdeka - Kumpulan dari Dataran Maybank yang turut ada di dalamnya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tiba disambut dengan sorakan dan tepukan tangan peserta BERSIH 4.
3.48 Jalan Raja Laut -- Ribuan peserta demonstrasi duduk di atas jalan raya sambil menonton persembahan kumpulan pemuzik protes BangsArt.
Vokalisnya Amir Hadi turut melaungkan Slogan “hidup rakyat” sambil diiringi ketukan dram.
'Awesome', kata lelaki Norway
3.3pm Jalan Raja Laut - kumpulan dari Sogo telah tiba di Dataran Merdeka. mereka semua membunyikan vuvuzela dan bersorak.
Seorang warganegara Norway yang telah menetap di negara ini selama setahun berkata, perhimpunan BERSIH bagus bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih demokrasi.
"Saya rasa ia awesome dan penting kerana Malaysia perlu menjadi sebuah negara yang antirasuah dan sebuah negara yang berdemokrasi," katanya yang mahu dikenali sebagai Cessile.
3.20pm Taipei – Kira-kira 700 orang berkumpul di Dataran Kemerdekaan Taipei untuk menyatakan setiakawan mereka dengan penganjuran acara sama di Malaysia. Ia sebahagian program Global BERSIH di pelbagai negara.
Anggaran peserta: 60,000 orang
3.23pm: Dataran Merdeka – Dianggarkan 60,000 berkumpul sekitar Dataran Merdeka.
3.05pm Sogo - Menteri Besar Selangor Azmin Ali kini berucap.
Beliau menggesa seluruh rakyat Malaysia bangkit untuk menyingkirkan Najib dari Putrajaya.
"Dengan kehadiran begini, saya yakin kita mampu singkirkan Najib dari Putrajaya," katanya.
3.06pm Dataran Merdeka - Seramai 20,000 berada dekat Dataran Merdeka. Seorang ulama PAS yang kini bersama Gerakan Harapan Baru (GHB) Ahmad Awang memberikan ucapan.
3pm Masjid Negara – Peserta bergerak dari Masjid Megara menuju ke arah Dataran Merdeka.
2.40pm: Dataran Merdeka – Dipimpin seorang wanita daripada Batu Pahat, Jacqualine Neo, lebih 10,000 orang menyanyikan lagi Negaraku di Dataran Merdeka.
Keadaan sebelum itu hingar bingar dengan tiupan vuvuzela.
Kawasan padat. Beberapa orang peserta mengadu talian telefon bimbit mereka terputus.
Mesej palsu beredar
2.30pm: SMS palsu menggunakan nama Malaysiakini dikesan beredar.
Pesanan palsu itu mendakwa polis menembak mati peserta BERSIH.
Malaysiakini tidak melaporkan perkara itu.
Untuk maklumat tepat, sila layari laman web atau laman laporan langsung kami. Pengguna Android juga boleh memuat turun aplikasi terkini kami www.primekini.com
Anggaran perserta: 50,000 orang
2.30pm: Peserta dianggarkan 50,000 orang, berdasar pemerhatian Malaysiakini.
2.20pm Masjid Jamek – Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) dan bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu berucap.
Beliau berkata orang ramai pelbagai kaum hari ini berkumpul kerana tidak boleh lagi menerima amalan rasuah dalam negara.
Beliau mengingatkan akan berkumpul secara aman selama 34 jam seperti dirancang.
“Boleh tidur di tepi jalan atau atas rumput. Semuanya boleh. Dan kita akan berada dalam keadaan aman,” katanya.
Dianggarkan lebih 30,000 orang sudah berhimpun. Kumpulan dari Pasar Seni mula berarak.
2.06pm Masjid Negara – Di perkarangan masjid, pemimpin popular DAP Lim Kit Siang berkata orang ramai berkumpul kerana hendak menyelamatkan negara supaya tiada krisis politik dan ekonomi.
“Kita mahu ketelusan dalam kerajaan. Nampaknya ada orang takut dengan perkataan BERSIH, mereka mahu hapuskan perkataan itu.
“Kita mahu anak cucu dan negara aman damai dengan perkara BERSIH,” katanya.
2.03pm Selain di sekitar Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu perhimpunan itu juga turut berlangsung di luar negara.
Facebook Global Bersih melaporkan, 74 lokasi perhimpunan BERSIH 4 yang turut diadakan di seluruh dunia.
Di Melbourne, Australia, wakil KiniTV, Shanice See melaporkan hampir 5,000 orang menyertai perhimpunan tersebut.
2:00pm Sogo - Semua peserta menyanyikan lagu Negaraku sebelum berarak ke Dataran Merdeka.
Doa dibaca supaya perjalanan ke Dataran Merdeka serta seluruh rakyat Malaysia selamat.
Mereka turut melaungkan "bersih" sebelum berarak.
Ucapan turut disampaikan oleh wakil Bersih Wong Cheng Huat di atas sebuah kereta pacuan empat roda jenis Hilux.
Turut kelihatan ialah Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan bekas naib presiden PAS Salehuddin Ayub.
Jumlah peserta BERSIH 4 kini dianggarkan seramai 20,000 orang.
1.35pm: Umno Kelantan kutuk himpunan BERSIH 4 dengan mendakwa ia jejaskan keharmonian rakyat dan keamanan negara, lapor Bernama.
"Dia pilih tarikh dan lokasi kita nak sambut ambang kemerdekaan, walaupun mereka ditawarkan tempat lain namun mereka teruskan rancangan mereka itu," pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed dipetik sebagai berkata.
1.30pm: Sogo - Peserta beragama Islam solat berjemaah di pekarangan pusat beli-belah Sogo. Ia diimamkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Putih, Dr Nik Mazian Nik Mohamad.
Selesai solat peserta bersiap sedia untuk berarak ke Dataran Merdeka.
Jumlah kehadiran di Sogo kini mencecah kira-kira 2,000 orang.
Walaupun peserta semakin ramai, aliran lalu lintas tetap seperti biasa dan tiada sekatan di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Dang Wangi.
1.30pm: Brickfields - Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Aruchelvan berada bersama kira-kira 600 peserta. Katanya, mereka akan berarak bersama Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah kira-kira jam 2 petang.
Aruchelvan juga menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh atau termakan umpan pencetus kekacauan jika ia berlaku.
"Ingat - senyum kepada polis. Jangan cabar mereka," katanya.
Kebanyakan peserta di sini terdiri daripada ahli PSM, Hindraf, komuniti India dan Orang Asal. Turut jelas kelihatan, bendera tuntutan royalti Kelantan dan anti-GST.
Turut berada Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy.
Faizal Fauzi dari Sungai Petani, Kedah. Katanya menjadi tanggungjawab untuk beliau turun menyertai BERSIH 4 bagi menamatkan amalan rasuah dan kerosakan negara.
"Tak ada rasuah, tak ada Najib," katanya ketika ditanya apa yang diharapkan daripada perhimpunan kali ini.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang, Tengku Zulpuri Shah bersama isteri Aida Ross tiba di Masjid Negara bersama sekurang-kurang 20 kereta lain.
Menurut Tengku Zulpuri, sebahagian daripada mereka berkumpul di Jalan Petaling dan Sogo, terutama golongan lebih muda. Pimpinan atasan DAP pula akan berada di Masjid Negara selepas solat Zuhur.
1.25pm: Jalan Tun Perak - Ketika kebanyakan peserta melaungkan "Bersih", sesetengah lagi menunjukkan rasa bangga dengan negeri masing-masing, terutama dari Johor.
Ada peserta membawa sepanduk memapakan gambar Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sambil melaungkan "Daulat Tuanku".
Satu kumpulan lain - majoritina Cina - membawa sepanduk bertulis Made in Muar (buatan Muar) serta bendera negeri dan Malaysia.
1pm: Dataran Merdeka - Kira-kira 20 peserta berdiri di tepi penghadang ke padang selepas tiba dari Jalan Parlimen, manakala yang lain berada kira-kira 50 meter dari situ.
Dua penghadang dipasang bagi mengelak orang ramai memasuki Dataran Merdeka dan ada lebih kurang 100 anggota polis berkawal. Hanya kenderaan tertentu dibenarkan masuk ke kawasan sekitar.
Keadaan kekal tenang dan terkawal.
Kemas kini 1pm: Jumlah peserta dianggarkan kini 20,000 orang berdasarkan pemerhatian Malaysiakini.
12.51pm: Masjid Negara - Keadaan agak tenang. Dianggarkan kira-kira 1,000 orang berada di sini. Lebih 50 gerai menjual baju, makanan dan minuman di buka sejak 8 pagi.
Lalu lintas dari Jalan Perdana ke Jalan Kinabalu bergerak lancar.
12.35pm Sogo - Ribuan peserta BERSIH 4 kini membanjiri pekarangan pusat membeli-belah Sogo. Keadaan kini seperti pesta apabila mereka membunyikan vuvuzela dan bersorak apabila kereta yang lalu-lalang membunyikan hon.
Terdapat juga poster yang bertulis "Bebaskan Anwar" dibentangkan. Di satu sudut di pekarangan pusat membeli-belah itu juga turut tersedia satu kempen kumpul tandatangan bagi menggesa bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan.
Lalu lintas di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Dang Wangi masih lagi bergerak lancar. Beberapa anggota polis trafik juga kelihatan bagi mengawal lalu lintas.
12.30pm: Pasar Seni - Kumpulan muzil The BangsArt membuat persembahan. Adam Adli adalah salah seorang anggota kumpulan ini. Mereka mengetuai perarakan kira-kira 300 orang dari Jalan Hang Kasturi ke Pasar Seni.
12.25pm: Sogo - Restoran Nandos turut mengambil kesempatan memberi air percuma kepada peserta BERSIH 4 di sekitar pusat membeli-belah.
12:04pm: SOGO - Naib Presiden PKR Rafizi Ramli tiba di pekarangan Sogo. Beliau kemudian dikerumuni orang ramai yang ingin bergambar dengannya sambil melaungkan "Bersih".
Peserta BERSIH 4 di perkarangan Sogo semakin meningkat, dianggarkan kini 500 orang.
12pm: Dataran Maybank, Jalan Tun Perak - Ramai orang berbaju kuning dan sesetengahnya meniup Vuvuzela untuk memeriahkan keadaan.
Jumlah orang ramai di Jalan Tun Perak dianggarkan seramai 2,000 orang.
Kebanyakan kenderaan yang lalu disambut orang ramai yang melaungkan "Bersih!" dan plakad "Orang ramai akan makan rumput jika Najib (PM) tidak letak jawatan".
Biasanya pemandu akan membalas dengan membunyikan hon sebagai tanda sokonan.
Ada kumpulan mendermakan 200 botol air mineral kepada peserta BERSIH 4.
12pm: KL Sentral - Kira-kira 300 orang berbaju kuning tiba dari stesen KTM dan LRT. Kebanyakannya menggunakan eskelator menunju Jalan Tun Sambantham melalui pasar raya NuSentral.
Sebahagian daripada mereka mengambil selfie, berbual dan makan tengah hari sementara menunggu rakan atau keluarga,
Seorang anggota polis memberitahu Malaysiakini, Ibu Pejabat Polis Brickfields menugaskan 30 anggota untuk berkawal di kawasan Brickfields.
Di sepanjang Jalan Tun Sambanthan dan KL Sentral ada kira-kira 500 orang peserta BERSIH 4.
11.30am: Pasar Seni - Kira-kira 800 orang berkumpul. Sesekali ada jeritan "BErsih" dan Tolak Najib" namun keadaan lebih meriah di luar apabila kira-kira 100 berkumpul berhampiran Hotel Geo melaungkan "Bersih", "reformasi" dan "tolak Najib"
Ia mendorong kumpulan lebih kecil di Pasar Seni menjerit juga, mungkin kerana inginkan perhatian daripada media.
11.30am Masjid Negara – Jalan ke Dataran Merdeka ditutup. Kira-kira 1,000 orang berlegar sekitar Bangkok Bank di Jalan Tun Perak. Kebanyakannya memakai baju BERSIH 4.
11.30am – Kemas kini jumlah peserta: 800 Jalan Tun Perak - 500 Petaling Street - 2,000 Brickfield - 150 Masjid Negara - Sogo - 200
11.43pm Datuk Mohd Nardin Awang, mantan setiausaha politik Tan Sri Muhyiddin Yassin, menafikan timbalan presiden Umno itu bersetuju untuk menyertai perhimpunan BERSIH 4.0.
“Adalah dimaklumkan bahawa berita tersebut palsu, berniat jahat dan disebarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
11.30am Pasar Seni - Kira-kira 800 orang sudah berkumpul di sini dengan melaungkan slogan anti-Najib.
10.50am Gereja Church of Our Lady of Fatima, Brickfield – Paderi Ferdinand Magimay berkata geraja itu sudah bersedia untuk menerima orang ramai yang mungkin singgah hari ini.
Gereja itu antara tiga gereja yang bersedia membuka pintunya untuk peserta BERSIH.
Ferdinand berkata gereja 52 tahun itu akan membekalkan air mineral. Dua pasukan kesihatan juga akan ditempatkan di situ pada jam 2 petang.
11am Stesen LRT Masjid Jamek, Jalan Tun Perak – Seorang orang kurang upaya (OKU) Isaiah Jacob berkata, isu rasuah antara penyebab beliau hadir kali ketiga ke perhimpunan BERSIH.
“Dan sebagai OKU, saya juga salah seorang mangsa kerajaan.
“Saya mahu bangkitkan kesedaran di kalangan OKU, sebahagian wang sepatutnya untuk orang OKU, bukan Umno dan BN,” katanya.
11:00am SOGO - Ratusan orang berbaju kuning BERSIH 4 mula berkumpul di hadapan pusat membeli-belah Sogo.
Pusat membeli-belah berkenaan turut beroperasi seperti biasa.
Bagaimanapun kawalan keselamatan di pusat membeli-belah berkenaan dipertingkatkan apabila beberapa orang yang memakai jaket keselamatan memantau dari dalam bangunan.
Orang ramai turut membeli-belah di dalam Sogo seperti biasa.
Seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Ina berkata, walaupun mengetahui mengenai perhimpunan BERSIH 4, namun perkara itu tidak menjadi masalah baginya.
"Tak apa. Saya tak kisah pun," katanya.
10.40am Pasar Seni – Kira-kira 150 orang berkumpul di kawasan itu. Polis juga kelihatan beredar sekitar kawasan pelancongan itu.
Laluan utama dari Pasar Seni ke Dataran Merdeka melalui Lebuh Pasar sudah ditutup.
Di luar bangunan itu, NGO Tindak Malaysia membuka tempat pendaftaran untuk kempen mereka Satu Rakyat Satu Undi Satu Nilai (1RUN).
Pengerusinya PY Wong berkata kempen itu bertujuan menyatakan bantahan terhadap proses persempadanan semula yang dijalankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
10.30am Jalan Tun Perak – Seorang peserta BERSIH Roslan Ali, 45, hari ini melepaskan geramnya terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi.
"Ini bukan bapa dia punya duit, ini rakyat beli sendiri.
“Mana ada undang-undang larang orang pakai baju kuning... kalau pergi mahkamah pun kita boleh menang,” katanya.
10.15am Petaling Steet – Seorang peserta BERSIH tampil memperolokkan kerajaan melalui plakad membawakan isu derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.
Ia bertulis:"We are Malaysians, for nation, tak main 'donation'."
Ramai antara mereka bersarapan di kawasan itu sebelum bergerak ke kawasan berkumpul.
10:26am: Selain peserta BERSIH 4 mula membanjiri banda raya Kuala Lumpur, terdapat juga iklan yang ditampal di sekitar kawasan Jalan Tun Perak yang menawarkan makanan percuma kepada peserta yang memakai baju BERSIH 4.
Bagaimanapun, iklan tersebut tidak dapat disahkan sama ada sahih atau tidak.
Sementara itu, sekumpulan polis kini sudah berada di Jalan Raja - menuju ke Dataran Merdeka. Mereka berbaris dan bertindak mengawal orang ramai supaya tidak memasuki kawasan Dataran Merdeka.
Seorang polis yang ditemui berkata, mereka bertindak mengawal bagi menghalang individu yang memakai baju berwarna kuning dan merah dari masuk ke Dataran Merdeka.
"Baju kuning dan merah tak boleh. Orang biasa boleh masuk tapi kuning dan merah tak boleh," kata anggota polis tersebut.
10am: Jalan Tun Perak – Beberapa jam sebelum perhimpunan BERSIH, keadaan di sini tenang.
Masih belum ada jalan ditutup dan kenderaan lalu-lalang seperti biasa. Hanya beberapa orang polis kelihatan mengawal lalu lintas.
Masih terdapat beberapa pihak memakai baju kuning BERSIH 4 walaupun telah diharamkan kerajaan semalam.
Kebanyakan mereka yang memakai baju kuning kelihatan berkumpul di kedai-kedai makan di ibu kota.
10am, Kepong Sentral KTM – Kira-kira 120 peserta BERSIH menunggu Komuter ke Kuala Lumpur. Mereka juga kelihatan mengedarkan air mineral dan roti.
Beberapa orang juga kelihatan memakai reben kuning sementara menunggu kereta api.
Seorang wanita Elaine Kah berkata beliau sudah bersedia untuk perhimpunan hari ini sejak tiga minggu lalu.
“Kami jual kemeja-T untuk kumpul dana bagi membeli roti dan ait mineral.
“Kami tidak puas hati dengan (derma) RM2 bilion (ke akaun) Najib Razak, insiden Low Yat. Sebab itu kami turun ke jalan,” katanya kepada Malaysiakini.
Kebanyakan mereka menuju ke stesen Kuala Lumpur, terdekat dengan Pasar Seni – salah satu daripada pusat berkumpul BERSIH.
Malaysiakini membawa laporan secara langsung 34 jam perhimpunan BERSIH 4. Terus bersama kami untuk liputan, gambar dan video semasa melalui PC atau telefon pintar.
1.05 - Jalan Raja – Penyelaras pasukan perubatan BERSIH Tan Gengta memberitahu Malaysiakini tiada kes melibatkan keganasan.
Katanya, pasukan itu terlibat dalam 48 kes bermula 9 pagi Sabtu sehingga 12.30 tengah malam tadi.
Menurut Tan, sebanyak 15 kes sejak jam 5 pagi Ahad tetapi kebanyakannnya kes kecil.
Selain 13 kes keracunan makanan, terdapat 13 lagi kes yang menyaksikan pesakit dihantar ke hospital, kata pasukan itu itu.
Ini termasuk kes kecederaan akibat melompat dari tempat tinggi dan perokok tegar yang mengalami takikardia atau kadar degupan jantung pantas.
1am - Polis menerima 27 laporan mengenai perhimpunan BERSIH 4 sehingga jam 10.45 malam ini dan membuka lima kertas siasatan.Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa berkata 14 daripada laporan itu dibuat Jumaat dan selebihnya Sabtu. [Baca lanjut]
12.35am: Dataran Merdeka – Terdapat beberapa peserta alami kecederaan ringan selepas terkena mercun yang dilempar ke arah mereka, lapor The Star Online.
Dua suspek yang membaling mercun juga dilapor turut cedera apabila ditangkap orang ramai.
12.10am Jalan Raja Laut – Letupan kuat kedengaran di seberang jalan menghadap bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Orang ramai kemudian mengepung pihak yang didakwa membaling mercun dan memanggil polis. Keadaan tegang.
12.03am Stesen LRT Masjid Jamek LRT station - Ramai bergerak ke arah stesen itu untuk pulang selepas menyanyikan lagu Negaraku.
12am Peserta menyanyikan lagu Negaraku pada jam 12 tengah malam.
Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah sebelum itu melaungkan "Merdeka" sepuluh kali diikuti oleh orang ramai.
Mereka mula bersurai perlahan-lahan.
Sementara itu, Polis Kuala Lumpur pula memberi jaminan keadaan bandar raya Kuala Lumpur selamat untuk sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-58 yang akan berlangsung esok.
Malah, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana pihaknya akan memastikan keselamatan mereka sentiasa terjamin. [Baca lanjut]
11.55 Jalan Parlimen - Kira-kira 10 anggota polis dan trafik berkawal di lampu isyarat simpang Jalan Parlimen untuk memantau perhimpunan BERSIH 4.
Tidak kelihatan sebarang kendaraan FRU atau trak polis di lokasi tersebut.
11.45pm: Pentas utama - Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah dalam ucapannya berkata, jika ada BERSIH 5 selepas ini ia akan menjadi "pesta rakyat".
Beliau juga meminta orang ramai meyakinkan ahli parlimen masing-masing supaya menyokong undi tidak percaya terhadap perdana menteri jika ia diusulkan nanti.
11.45pm: Jalan Parlimen - Bukan hanya orang biasa yang menyertai BERSIH 4.
Pelakon filem dan drama, Jesse Lim, turut mengambil peluang datang untuk meninjau keadaan di sekitar perhimpunan.
"Selepas empat kali diadakan, ini kali pertama saya datang ke perhimpunan BERSIH.
"Mungkin sebab sebelum ini hanya diadakan waktu siang. Kali ini berlangsung selama 34 jam.
"Saya sempat datang waktu malam sebab siang hari ada penggambaran," katanya kepada Malaysiakini.
Kehadiran pelakon berusia 44 tahun itu turut diambil peluang oleh peserta lain untuk bergambar dengannya.
Ditanya mengenai BERSIH 4, Jesse berkata, sesuatu perkara dilakukan mesti mempunyai sebab.
"Kalau seorang merayu mungkin salah faham. Kalau 100 orang mungkin mereka menganggap kita berdengki.
"Tapi kalau 1,000 orang merayu kepada seseorang itu mungkin kita tak boleh nak nilai. Kalau berjuta orang sudah marah kepada seseorang itu, mesti orang itu adalah masalah," katanya yang baru selesai penggambaran filem Mulut dan Koncu arahan Datuk A Razak Mohaideen.
11.40pm - Jalan Tun Perak - Orang ramai kelihatan mula bergerak meninggalkan kawasan utama melalui Jalan Pudu dan Jalan Sultan. Pada masa sama hanya beberapa orang anggota polis kelihatan bertugas agak jauh dari situ.
Keadaan lampu jalan berhampiran Dataran Maybank yang terpadam tiba-tiba menyebabkan orang ramai bersorak namun keadaan kembali tenang sejurus selepas itu apabila lampu berkenaan kembali menyala.
11.30 pm: Jalan Tuanku Abdul Rahman - Quratulain Atiqah, 24, datang menyertai BERSIH 4 bersama 20 kawannya seja semalam.
Katanya, semalam tidak ramai Melayu menyertai BERSIH mungkin disebabkan kurang yakin terhadap keselamatan masing-masing selepas diugut dengan pelbagai cara, termasuk mengharamkan baju.
"Tapi mereka tengok semalam OK saja, polis pula tak gunakan kekasaran. Ini antara sebab peserta Melayu tambah malam ini,“ katanya kepada Malaysiakini.
Atiqah berkata sebagai anak muda, dia percaya himpunan aman merupakan satu manifestasi rakyat.
“Mungkin tiada perubahan berlaku serta-merta (kesan perhimpunan aman) tetapi ini adalah kekuatan kita,” katanya.
11.27pm: Jalan Tuanku Abdul Rahman - Peserta Melayu ramai berkumpul di sekitar kawasan ini.
Salah seorang daripada mereka ialah Mohd Saidi, 55, yang datang bersama isteri dan empat anak mereka, serta dua kawan lain untuk mendengar ucapan di pentas utama berhampiran Dataran Merdeka.
Beliau mengaku hadir di Dataran Merdeka semalam.
"Saya rasa semalam peserta Melayu hanya 10 peratus tetapi malam ini ada 30 peratus. Ini adalah merangsangkan.
"Bagaimanapun, saya rasa turn out peserta Melayu secara keseluruhan kurang berbanding BERSIH 3 kerana ketika itu turn out mencapai 80 peratus," katanya kepada Malaysiakini.
Ditanya sebab peserta Melayu malam ini lebih ramai, Saidi berkata mungkin orang ramai berasa selamat selepas tiada kejadian tidak diingini berlaku semalam.
“Semalam mereka takut keluar kerana ingat polis akan ambil tindakan atau ada apa-apa kekacauan,” katanya.
"Orang Melayu sebenarnya marah dengan pentadbiran kerajaan BN terutamanya perlaksanaan GST," katanya.
11.20pm: Jalan Parlimen - Hayat, 22, kali pertama turun menyertai BERSIH hari ini.
Asalnya, kata Hayat, dia mahu datang semalam tetapi terpaksa membatalkan niat itu kerana bekerja.
"Mungkin orang lain juga begitu. Sebab itu tak ramai Melayu semalam," katanya dan dipersetujui beberapa rakannya yang ada bersama.
Nordin, 51, pula berkata dia menjadi peserta BERSIH 4 sejak semalam tetapi tidak tidur di Dataran Merdeka.
Ditanya mengenai BERSIH 4, Nordin berkata dia tidak menjangkakan Datuk Seri Najib Razak akan melepaskan jawatannya kerana protes kali ii.
"Dia akan berundur jika dia nak berundur. Tapi menyertai BERSIH ni memang berbaloi," katanya.
11.10pm: Jalan Tuanku Abdul Rahman - Dianggarkan ada kira-kira 10,000 orang di sini dalam suasana seperti pesta.
Tidak seperti semalam, kehadiran orang Melayu dapat dilihat lebih ketara dan dianggarkan sehingga 40 peratus.
Keadaan juga tidak begitu bingit dengan bunyi vuvuzula hanya terdengar sesekali dan muzik atau ceramah dari pentas utama berhampiran Dataran Merdeka tidak sampai ke sini.
Azrul Izamee Ashak, 27, dari berkata dia lebih berasa sebagai rakyat Malaysia menjelang tarikh 31 Ogos.
"Saya rasa bangga sebab nampak ada satu bangsa di sini.
"Rasa kemerdekaan kita selalu dipecahbelahkan dalam sambut kemerdekaan," katanya kepada Malaysiakini.
11pm: Dataran Merdeka - Kira-kira sejam lagi untuk BERSIH 4 menutup tirai, jumlah peserta meningkat kepada kira-kira 80,000 orang. Sesetengah pihak pula mendakwa jumlah semasa mungkin melepasi 100,000 orang.
10.30pm: Menara Maybank - Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua meminta peserta BERSIH 4 tidak terlalu bimbang apabila tidak ramai orang Melayu menyertainya.
Kata Pua, keadaan itu berlaku kerana PAS tidak menggerakkan ahlinya dan meminta orang ramai memberi masa kepada Gerakan Harapan Baru ditubuhkan secara rasmi.
10.17pm: Jalan Parlimen - Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba bersama anaknya, Nurul Nuha Anwar.
Wan Azizah berkata, beliau akan menyampaikan ucapan kepada peserta BERSIH 4 selepas ini. Beliau kemudian dikerumuni orang ramai yang mahu bergambar dengannya.
Laungan "Reformasi" juga kedengaran ketika Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berjalan ke arah pentas berhampiran Dataran Merdeka.
10.15pm: Dataran Merdeka - Di depan pentas utama BERSIH 4, orang ramai menyanyi lagu Standing in the Eyes of the World bersama penyanyi Eddy dan Wimii.
Sambil menyanyi mereka menggerakkan tangan dan menghidupkan lampu telefon bimbit masing-masing, selain ada mengibarkan Jalur Gemilang.
10.10pm Menara Maybank - Pemimpin DAP Lim Kit Siang menggesa rakyat memastikan tiada perdana menteri seperti Datuk Seri Najib Razak muncul lagi dalam politik Malaysia.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago pula mahu orang ramai tidak mempercayai Tun Dr Mahathir Mohamad kerana bekas perdana menteri itu "bukan rakan" sebaliknya hanya mahu mengambil kesempatan.
10pm: Pusat Konvensyen KL - Datuk Seri Najib Razak berikrar beliau dan barisan pentadbirannya tidak akan membiarkan Malaysia jatuh, malah akan terus membangunkan tanah air supaya kekal makmur di persada dunia.
Perdana menteri berkata beliau dan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta rakan-rakan lain akan meneruskan usaha itu walau apa pun cabaran yang melanda.
Baca lanjut di sini
10pm: Jalan Tuanku Abdul Rahman - Band Rakyat Rhythm menarik perhatian peserta dengan lagu mereka, Malaysiaku dan Rasa Sayang. Mereka menggunakan baldi plastik, tin biskut dan kayu untuk menghasilkan irama.
9.40pm Dataran Merdeka - Depan pentas BERSIH, orang ramai membuat rantaian manusia ketika seorang anggota jawatankuasa pemandu BERSIH Farhana Halim berucap.
Peguam itu berkata beliau bersedia untuk berjalan lagi 34 jam dan 34 hari lagi untuk memastikan Datuk Seri Najib Razak berundur.
“Kita mahu Najib dan Rosmah berundur,” katanya.
9.31pm: Dataran Merdeka - Orang ramai menggunakan telefon bimbit masing-masing untuk merakam suasana sekeliling mereka.
9.20pm: Dataran Merdeka - Berdasarkan laporan daripada lapangan dan gambar daripada udara, jumlah peserta terkini sekurang-kurangnya 60,000 orang.
9:02pm Jalan Raja - Suasana di Dataran Merdeka kembali hidup. Kumpulan pemuzik protes BangsArt kembali menghiburkan orang ramai dengan lagu "Ayuh Anak Muda".
Irama lagu itu berdasarkan lagi Pet Shop Boys oleh Go West.
Orang ramai bernyanyi bersama-sama mereka sementara menunggu detik jam 12 tengah malam.
9.00pm - Perhimpunan BERSIH berbaki lagi tiga jam lagi sebelum detik 12 tengah malam hari Merdeka.
Perdana menteri akan menyampaikan amanat hari Merdeka pada bila-bila masa daripada sekarang.
8.30pm - Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown yang dikehendaki polis Malaysia, menyertai perhimpunan BERSIH 4 di London.
Beliau memakai pakaian kuning sambil membawa belon warna sama bertulis perkataan “free media” (bebaskan media).
Kira-kira 1,000 orang hadir dalam perhimpunan itu. Acara sama anjuran Global BERSIH itu turut berlangsung di lebih 70 bandar di seluruh dunia.
7.30pm Jalan Raja – Seorang lelaki didakwa mabuk muncul di Dataran Merdeka dan mengganggu peserta, termasuk menolak mereka.
Polis membawa beliau pergi selepas laporan polis dibuat terhadapnya.
6.45pm Dataran Merdeka - Pasukan Paramedik BERSIH 4 mengesyaki kes keracunan makanan yang melibatkan peserta berpunca daripada air minuman kotak yang disuntik bahan kimia tertentu.
Seorang anggota Paramedik, Nesa Balakrishnan berkata, semalam pihaknya menerima tujuh pesakit yang terkena tanda-tanda cirit-birit dan sakit tekak.
"Pemeriksaan kita mendapati minuman yang diagihkan ada kesan suntikan di bahagian atas kotak.
"Minuman diagihkan dengan diletakkan dalam kotak ais. Bila peserta ambil minuman dalam keadaan basah, tak perasan kesan suntikan itu," katanya kepada Malaysiakini.
Sementara itu hari ini pasukan perubatan itu menerima tiga pesakit.
Difahamkan, pasukan Paramedik telah membuat laporan polis berhubung kes keracunan berpunca daripada minuman tersebut.
6.15pm: Masjid Jamek - Walaupun PAS sebelum ini tidak mengeluarkan kenyataan rasmi meminta ahlinya untuk menyertai himpunan BERSIH 4, namun kelihatan Naib Presidennya Idris Ahmad turut berada di perhimpunan ini.
Beliau yang memakai baju korporat PAS Perak yang berwarna kuning ditemani beberapa rakannya. Turut kelihatan bersama beliau, bekas anggota jawatankuasa PAS Pusat Abdul Ghani Shamsuddin.
Ditanya mengapa beliau hadir pada perhimpunan hari kedua ini, Idris hanya tersenyum.
Ditanya lagi mengapa pimpinan lain tidak turut serta dalam perhimpunan BERSIH 4, beliau hanya ketawa dan enggan mengulas.
Ribuan peserta berkumpul dan berarak dengan pelbagai ragam.
Antaranya sekumpulan peserta berarak sambil memukul bahan buangan seperti tong cat, botol mineral dan tin minuman sebagai alat muzik.
Terdapat juga perarakan tarian singa yang disertai pemuzik yang berarak dari Jalan Tun Perak ke Masjid Jamek.
5.56pm: Dataran Merdeka - Penganjur mengumumkan perhimpunan itu berehat sebelum bersambung semula jam 9 malam.
5.40pm: Pasar Seni - Tun Dr Siti Hasmah Ali menggesa semua penyokong parti, tanpa mengira ideologi, menyokong gerakan untuk mendesak Datuk Seri Najib Abdul Razak berundur susulan skandal 1Malaysia Development Berhad.
"Yang penting sekali, tidak kira BERSIH ke, PKR ke, PAS ke, kita orang Malaysia. Kalau kita bersatu padu (menolak Najib), kita akan capai matlamat kita," katanya sewaktu mengiringi Tun Dr Mahathir Mohamad turun ke Kuala Lumpur sebagai menyatakan sokongan kepada peserta BERSIH 4.
"Seperti kita dulu berjuang untuk kemerdekaan, bagaimana kita semua dulu bersatu. Jadi tolonglah dalam keadaan seperti ini, janganlah ada keganasan."
Dr Mahathir dan Siti Hasmah yang diiringi Datuk Zaid Ibrahim menggunakan Komuter untuk tiba ke Pasar Seni. Semalam pasangan ini tiba menyatakan sokongan kepada kira-kira 100,000 peserta di sebelah petang.
5.35pm: Jalan Tun Perak - Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu mengulas kehadiran Dr Mahathir Mohamad bagi kali kedua hari ini.
Bekas timbalan presiden PAS berkata walaupun mantan perdana itu dianggap jahat tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak lebih jahat lagi.
"Semalam beliau hadir, dan hari ini beliau datang lagi.
"Seorang yang jahat macam Dr Mahathir tidak tahan seseorang yang lebih jahat daripadanya," kata Mohamad, disambut gelak ketawa peserta BERSIH 4 yang mendengar ucapannya.
5.20pm: Pasar Seni - Dr Mahathir Mohamad tidak bercadang untuk menyertai perhimpunan BERSIH 4 walaupun menyatakan sokongan kepada ribuan orang yang berdemonstrasi sejak tengah hari semalam.
Mantan perdana menteri senja semalam turun di Dataran Merdeka sebentar tanpa sebarang kenyataan kecuali "teruskan, teruskan."
Petang ini, dalam kenyataan di sebuah restoran, beliau berkata: "Semangat saya bersama anda semua. Saya kena pulang ke rumah."
Petang semalam, mengulas perhimpunan tersebut, isterinya Tun Dr Siti Hasmah Ali berkata ringkas: "Inilah kuasa rakyat."
5.15pm: Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa memuji peserta BERSIH 4 yang disiplin dan patuh pada arahan pihak berkuasa untuk tidak masuk ketempat larangan serta membuat sebarang kekacauan.
"Setakat ini okay. Peserta ramai dan keadaan terkawal. Peserta BERSIH dilihat berdisiplin dan patuh pada arahan.
"Tidak ada sebarang tangkapan di Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
5.15pm: Pasar Seni - Dalam sidang medianya, Dr Mahathir Mohamad berkata beliau turun ke Kuala Lumpur sebagai menyatakan sokongan kepada rakyat yang sedang mengadakan bantahan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Ditanya sama ada beliau menyokong BERSIH, mantan perdana menteri berkata beliau menyatakan solidariti dengan orang ramai.
Ditanya beliau bersetuju menggunakan demonstrasi untuk menukar kerajaan, Dr Mahathir berkata:
"Kalau kerajaan tidak peduli undang-undang, (kita) kenalah menggunakan demonstrasi sebagai pilihan terakhir.
"Lihat apa yang terjadi sewaktu Ferdinand Marcos memerintah Filipina, rakyat terpaksa menggulingkannya."
5.09pm: Pasar Seni - Dr Mahathir Mohamad mengadakan sidang media di sebuah restoran di sebelah Pasar Seni.
Sebelumnya beliau menyampaikan ucapan di depan kompleks tersebut setelah bergerak dari stesen Komuter KL.
Beliau dan isteri diiringi oleh Datuk Zaid Ibrahim.
4.30pm: Stesen Komuter KL - Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Dr Siti Hasmah Ali telah tiba, dijangka sedang menuju ke arah kumpulan ribuan penyokong BERSIH 4 di Jalan Tun Perak.
Dr Mahathir, yang diiringi bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim, kelihatan disambut beberapa penyokong BERSIH di stesen ini.
Sementara itu, bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik muncul di perhimpunan BERSIH 4 di Perth, Australia semalam.
3.35pm: Dataran Merdeka - Hujan mulai turun. Sementara ada peserta yang mencari tempat berteduh, ramai juga yang tidak mengendahkan suasana basah itu. Mereka teruk bersorak dan melaungkan "Najib Undur" dan "Hidup Rakyat".
3.30pm Tiga menteri kabinet dan pemimpin tertinggi Umno mengulas kehadiran bekas menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada perhimpunan BERISH 4 semalam.
Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid berkata perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana bekas Perdana Menteri itu hanya berada di kawasan perhimpunan itu selama "enam minit".
Dalam laporan yang lain, agensi berita itu meaporkan Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kehadiran Dr Mahathir itu sebagai "mengecewakan dan dikesali".
Ismail berkata Dr Mahathir merupakan individu yang paling lantang menentang demonstrasi jalanan terutama ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan berlaku demonstrasi besar-besaran oleh kumpulan reformasi, lapor Bernama.
"Akhirnya Tun (Dr Mahathir) sendiri dahulunya penentang kuat kepada demonstrasi jalanan akhirnya dia sendiri terlibat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Beluran di Sandakan, hari ini.
Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak membidas Dr Mahathir dianggapnya telah melanggar prinsip beliau sebelum ini yang menolak demonstrasi jalanan.
3pm: Dataran Merdeka - Kira-kira 50,000 peserta menyertai BERSIH, kira-kira sembilan jam sebelum perhimpunan selama 34 jam berakhir tengah malam ini.
Dalam tinjauan udara, kebanyakan mereka berada di sekitar simpang Jalan Tun Perak-Jalan Tuanku Abdul Rahman, kawasan paling dekat dengan Dataran Merdeka yang dibenarkan.
Dataran Merdeka sedang dipersiapkan untuk sambutan Hari Kebangsaan ke-58 esok.
Daripada jumlah itu, 10,000 berjalan-jalan di Jalan Tun Perak, antara persimpangan tersebut ke Menara Maybank. Selebihnya berada di Jalan Tuanku Abdul Rahman (dari arah kompleks Sogo) dan sekitar Leboh Pasar Besar.
2.30pm: Jalan Tun Perak - Selepas berehat selama dua jam, ribuan penyokong Bersih mendengar ucapan-ucapan dan berhibur dengan persembahan dalam keadaan berjerebu.
Dalam ucapannya, ahli jawatankuasa BERSIH New Sin Yew berkata semua peserta berbaju kuning dengan tulisan BERSIH 4 dianggap "penjenayah" kerana kerajaan mengharamkan pakaian itu Jumaat lalu.
"Kita semua hari ini jadi penjenayah. Kerana Zahid Hamidi mengharamkan baju BERSIH tetapi apa kita buat, kita datang juga.
"Kita tidak takut undang-undang yang menindas. Hak kita dijamin dalam Perlembagaan - hak untuk bergerak dan meluahkan perasaan. Kerajaan tidak hormat hak kita," kata New.
"Tunjukkan kepada kerajaan, (kita) tidak takut kerajaan, sepatutnya kerajaan takut pada kita."
Beberapa sukarelawan cuba mengawal kebingitan bunyi vuvuzela dengan menaikkan plakad "No vuvuzelas" tetapi tidak ramai pengguna alat tiupan itu mempedulikannya.
2.30pm: Dataran Merdeka - Selepas mesyuarat dengan Ketua Polis Dang Wangi Zainol Samad, Pegerusi BERSIH Maria Chin Abdullah memberitahu bahawa sambutan ambang kemerdekaan dipindahkan ke Bukit Jalil.
"Sambutan malam ini diadakan di Bukit Jalil, tapi perarakan Merdeka esok akan diadakan di sini (Dataran Merdeka)," katanya.
Maria kemudiannya berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada polis kerana bekerjasama dan beliau berjanji akan menamatkan perhimpunan BERSIH sebelum tengah malam.
Sementara itu, Maria berkata beliau tidak ambil berat khabar angin bahawa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan membuat penampilan sekali lagi dalam perhimpunan itu.
"Jika dia datang, kita akan sambutnya sebagai peserta," kata Maria.
Sementara itu, Bernama melaporkan persiapan akhir sambutan Hari Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka terjejas kerana laluan masuk dihalang oleh peserta perhimpunan Bersih 4 yang berkumpul memenuhi kawasan sekitar lokasi itu.
Pengerusi Jawatankuasa Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2015, Datuk Seri Othman Mahmood berkata persiapan untuk acara Hari Kebangsaan yang akan disambut esok itu tidak berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.
"Setakat pagi ini, saya dan beberapa pegawai dari Jabatan Perdana Menteri hanya dapat menyempurnakan persiapan sambutan sebanyak 50 peratus sahaja.
"Banyak peralatan dan barangan keperluan tidak dapat dibawa masuk ke Dataran Merdeka dan kami hanya mempunyai kurang daripada 17 jam untuk menyempurnakan persiapan itu," katanya ketika ditemui oleh pemberita di ibu negara, hari ini.
2.25pm: Perdana menteri memperkecilkan jumlah peserta BERSIH 4 dengan menggambarkan mereka hanyalah segelintir rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati.
Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata pihaknya boleh mengumpulkan ratusan ribu penyokong berbanding BERSIH yang hanya berjaya menarik kira-kira 20,000 peserta, lapor Star Online.
Bercakap di Hari Peneroka di Kuala Terengganu hari ini, beliau juga berkata majoriti rakyat masih bersama kerajaan. BERSIH juga tidak mengambil berat kebajikan orang ramai, khususnya di luar bandar, tambahnya.
Perhimpunan 34 jam anjuran BERSIH antaranya bertujuan mendesak Najib berundur atas skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.
1.55pm: Jalan Tun Perak - Di tengah-tengah 30,000 penyokong BERSIH 4, sekali-sekala muncul mesej sinis yang mengkritik perdana menteri sehingga menjadi perhatian ramai.
Plakad kuning bertulisan "Najib! Dermalah RM20,000, saya nak kahwin!" menyindir Datuk Seri Najib Abdul Razak yang dilaporkan memilik wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.
"Saya ingin menyindir Najib. Saya masih bujang, mahu berkahwin tetapi saya tidak mampu," kata Firdaus Misnan, 29, kepada Malaysiakini.
1.40pm: Sogo - Seorang anggota polis yang mengawal keselamatan berkata sehingga kini tidak ada kekacauan yang berlaku dekat di pusat membeli belah itu.
Bagaimanapun, sekiranya peserta demonstrasi melakukan perkara yang melanggar undang-undang, mereka akan berdepan tindakan.
"Setakat ini tak ada huru-hara. Hanya laungkan slogan dan duduk di atas jalan.
"Lalu lintas terkawal. Kalau langgar peraturan kita ambil tindakan. Lagipun mereka ada hak bersuara. Just go ahead," katanya yang bertugas sejak 6 pagi tadi.
Empat lokasi lalu lintas yang diawasi anggota keselamatan iaitu Jalan Tuanku Abdul Rahman depan Sogo, Brickfield, Dataran Maybank dan Jalan Tun Perak.
1.30pm: Dalam kenyataannya, Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah mengutuk tindakan mengedar minuman kepada peserta perhimpunan semalam yang didakwa menyebabkan keracunan makanan.
Menyifatkan tindakan satu usaha "sabotaj", Maria menasihati peserta-peserta BERSIH agar mengambil minuman percuma di khemah-khemah rasmi tajaan penganjur perhimpunan selama 34 jam itu.
Semalam beberapa peserta mendapatkan rawatan di khemah-khemah perubatan BERSIH apabila mengalami sakit perut dan cirit-birit. Beberapa orang dilaporkan dihantar untuk rawatan di hospital.
1.30pm: Bandar Melaka - Sepuluh lagi penyokong BERSIH yang memakai baju kuning dengan logo BERSIH 4 ditahan polis di Dataran Pahlawan, Bandar Melaka sekitar jam 11.45 pagi ini.
Menurut salah seorang peserta yang ditahan semalam, Lee Ling Kit, 34, mereka kini dibawa ke Balai Polis Melaka Tengah untuk diambil keterangan.
"Seorang daripada mereka berumur 16 tahun," kata Lee kepada Malaysiakini. Polis semalam menahan 20 orang individu yang memakai baju kuning dengan logo BERSIH 4.
Kira-kira 100 orang berkumpul di situ sebagai tanda sokongan kepada perhimpunan BERSIH 4 yang diadakan sejak semalam di tiga lokasi utama - Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu.
1pm: Jalan Raja - Bersih mengumumkan bahawa sebarang mesej yang tersebar di WhatsApp meminta peserta hadir ke Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) untuk mengutip elaun RM200 adalah palsu.
"Jika anda mahu derma, pergi mencari Najib. Kami tidak memberikan sumbangan. Kita hadir di sini ikut kemahuan kita sendiri," kata seorang juruhebah.
1pm: Pihak berkuasa akan mengenakan tindakan tegas terhadap dalang yang menganjurkan perhimpunan Bersih 4, kata Datuk Seri Zahid Hamidi, lapor Bernama.
Menteri dalam negeri juga berkata pihak berkuasa memantau "setiap perkataan" yang disampaikan dalam perhimpunan tersebut, dijadual selama 34 jam sehingga tengah malam ini.
Bercakap selepas merasmikan mesyuarat agung Umno Ipoh Timur hari ini, Zahid berkata tindakan terhadap mereka boleh diambil menggunakan Akta Perhimpunan Aman, Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Polis.
12.45pm: Jalan Tuanku Abdul Rahman - Unit Arif dan Pemuda AMK telah menahan seorang pemuda yang didakwa cuba mencetuskan kekecohan dengan cuba membakar mercun.
"Kami berjaya menahannya kita itu, dan sekarang kami akan membawanya ke Dang Wangi untuk diserahkan kepada pihak berkuasa," kata ADUN Simpang Pulai Tan Kar Hing.
12.45pm Jalan Tun Perak - Walaupun matahari memuncak di atas kepala dan masa makan tengah hari, kira-kira 30,000 peserta Bersih 4 memenuhi jalan-jalan berdekatan Dataran Merdeka sambil tidak henti-henti melaungkan "Bersih".
Mereka yang berbaju kuning kembali memenuhi jalan ini mulai dari Menara Maybank ke arah simpang Jalan Tun Perak-Jalan Tuanku Abdul Rahman, kira-kira 200 meter dari Dataran Merdeka.
Tinggal lagi 11 jam menjelang tengah malam untuk sambutan Hari Kebangsaan ke-58. Bersih menganjurkan perhimpunan ini selama 34 jam mulai 2 petang semalam.
12pm: Dataran Merdeka - Aktivis Bersih Mandeep Singh berkata hasil pertemuan dengan polis tadi, pihak keselamatan memberi kerjasama yang baik.
"Segalanya berjalan lancar, Rakyat malaysia bersama anggota keselanatan untuk rakyat Malaysia.
Beliau juga mengingatkan peserta supaya tidak memasuki kawasan larangan dan perhimpunan masih berbaki 12 jam lagi.
Perhimpunan bermula 2 petang semalam dan akan berakhir tengah malam ini.
"Rundingan yang baik dan jangan duduk kawasan larangan. Inilah sejarah rakyat Malaysia bersama anggota keselamatan. Kita harap semua berjalan lancar," katanya.
Sebelum itu, di Jalan Tun Perak, Mandeep menyampaikan ucapan dan membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Najib kata kita tidak patriotik, tapi kami datang untuk sambut merdeka sejak jam 2 petang semalam," katanya sambil berkata rakyat Malaysia sudah muak dengan perdana menteri.
Beliau turut mencabar Najib mengadakan sesi sidang tergempar parlimen bagi supaya mengadakan undi tidak percaya.
Kemudian beliau menggesa terus berhimpun sehingga demonstrasi itu tamat tengah malam ini.
Selepas ucapan Mandeep, ahli musik menaiki trak untuk menyanyikan lagu Ella, 'Standing In The Eyes of The World', dan Bon Jovi, 'It's my life', dan peserta menyanyi bersama-sama.
11am: Muka depan akhbar utama di rak jualan hari ini juga berwarna kuning sebagai tanda kepada perhimpunan Bersih 4.
Tinjauan segera kepada liputan akhbar itu mendapati muka depan akhbar Cina dan Tamil dengan tajuk penuh berwarna bagi perhimpunan itu, telah mendominasi rak akhbar.
Akhbar pro-Umno turut tidak terkecuali, menyampaikan secara negatif mereka berkaitan perhimpunan tersebut.
Berita Harian bertajuk 'Bersih 4 Tak Sayang Negara', manakala akhbar Mingguan Malaysia bertajuk 'DAP kuasai Bersih 4.0' mengekalkan perhimpunan itu adalah "haram".
New Sunday Times, bagaimanapun, mendapati letupan di Bangkok lebih mempunyai nilai berita daripada tajuk halaman depan, walaupun ia meletakkan di sisi bahagian bawah bertajuk 'Merdeka Spirit'.
10.50am: Jalan Tun Perak - Selepas kehadiran peserta mula berkurangan, lebih kurang 1,000 lagi peserta tiba, termasuk 20 orang daripada masyarakat Orang Asli.
Anda, seorang daripada mereka, memberitahu Malaysiakini bahawa dia meletakkan harapan yang tinggi untuk perhimpunan ini.
"Kami mahu kerajaan yang bersih dan kami mahu kehidupan Orang Asli dimajukan lagi," katanya.
Setelah diadakan empat kali sejak 2007, perhimpunan Bersih selama dua hari sejak semalam berlangsung dalam suasana tertib dan aman.
10.20am: Jalan Raja - Semangat mula dikobarkan untuk hari kedua yang secara rasminya bermula jam 9 pagi tadi.
Ucapan pagi disampaikan antaranya Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Rashid Hasnon dan wakil rakyat Parit Buntar, Mujahid Yusof.
Aktivis muda Adam Adli menyanyikan lagu dengan iringan kumpulan rakan-rakannya, 'BangsArt'. Ada juga yang menari, memberikan semangat kepada peserta Bersih 4.
Sebelumnya, di langit Kuala Lumpur, beberapa jet pejuang dan helikopter kelihatan merentasi kawasan Dataran Merdeka bagi meneruskan latihan penerbangan untuk sambutan Hari Kebangsaan ke-58 esok.
10.18am: Masjid Jamek - Kira-kira 1,000 orang, yang baru saja tiba, kelihatan sedang berarak dari stesen LRT Masjid Jamek ke arah Dataran Merdeka untuk menyertai peserta lain di sama. Mereka melaungkan "Bersih, Bersih, Bersih!"
9.50am: Jalan Tun Perak - Kira-kira 1,500 penyokong Bersih berlegar-legar di jalan-jalan berdekatan Dataran Merdeka. Ada yang masih tidur dan ada juga yang baru bangun.
Beberapa kumpulan peserta muncul dari arah stesen LRT Masjid Jamek dan beberapa ratus lagi bergerak dari arah Pudu Sentral.
Mereka yang menuju ke kawasan lapang berhampiran Dataran disambut wakil rakyat Bakri, Er Teck Hwa, yang membahagi-bahagikan roti dari sebuah lori yang dibawanya dari Johor.
9.40am: Jalan Raja - Seorang peserta perhimpunan, Isaiah Jacob, tampil ke pentas untuk menyampaikan ucapan.
Orang Kurang Upaya (OKU) ini, yang sudah tiga kali menyertai demonstrasi Bersih, mengajak peserta memperjuangkan hak dan menuntut perubahan.
"Najib, dengarlah rintihan rakyat," katanya.
Ucapan beliau mendapat tepukan gemuruh. Selepas ucapan, beberapa peserta mengucapkan terima kasih, ada juga peserta yang mengambil kesempatan bergambar bersama Isaiah.
Peserta di Dataran Merdeka bertambah menjadi kira-kira 7,000 kerana ramai peserta akan hadir pada hari kedua perhimpunan.
9.40am: Jalan Raja - Selepas senaman pagi dan doa pelbagai agama, ahli jawatankuasa Bersih Ivy Josiah membacakan doa untuk kesejahteraan umum.
Beliau juga memohon agar Tuhan membetulkan hati-hati mereka yang berniat buruk terhadap peserta perhimpunan tersebut.
Kira-kira 5,000 peserta kemudian berdiri dan menyanyikan lagu 'Negaraku'.
9.28pm - Jalan Raja - Penganjur mengumumkan program hari ini dengan tiga pentas dibina berdekatan Dataran Merdeka, di Masjid Jamek depan Bank OCBC dan di Jalan TAR.
Mereka turut mengarahkan peserta berhenti menggunakan vuvuzela kerana ia mengganggu pihak keselamatan dan pengawalan peserta.
Mereka juga meminta setiap orang meminimakan muatnaik foto dan video ke internet kerana ia mengurangkan kualiti talian internet kepada orang lain dalam himpunan itu.
9.00am - Senaman diikuti doa keagamaan masing-masing.
10am-12pm - Pesembahan BangsART, Awake (Chinese band), persembahan Bangra, ucapan oleh Yi Leong & Khairol Najib.
12pm-2pm - Pengumuman dan makan tengahari
2pm -7pm - Persembahan dan ucapan
7pm -9pm - Pengmuman dan makan malam.
7.30pm - Solat Maghrib
7.50pm - Solat Hajat
8.10pm Zikir/Doa Munajat
8.40pm - Solat Isyak
9.00pm - Tazkirah
9pm-11.59pm - Ucapan tentang 'What next?' Diketuai oleh pemimpin Bersih dari pelbagai tempat
Tengah malam - Penutupan oleh Maria Chin Abdullah & Nyanyian NegaraKu.
Penganjur kata mereka akan memaklumkan sebarang pindaan program.
9am Dataran Merdeka - Kira-kira 40 polis bermotosikal tiba di belakang sekatan. Dalam jarak jauh dari sekatan itu, anggota jawatankuasa pemandu BERSIH Ivy Josiah berada di atas pentas mengetuai senaman dengan peserta.
Beliau berjaya memujuk Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah untuk bersamanya di atas pentas. "Putrajaya, perlu bersih, kami memerhatikan anda," Josiah berkata sambil mengetuai senaman tarian.
Peserta hadir untuk menyertainya. Aktiviti itu berakhir apabila Josiah mengingatkan mereka supaya menjaga kebersihan jalan, mematuhi peraturan dan yang paling tidak memecahkan sekatan.
Dengan acara itu, BERSIH memulakan aktivitinya hari ini.
8.45am Dataran Merdeka - Kebanyakan peserta yang bangun menyertai kira-kira 4,000 peserta lain di kawasan itu. Peserta yang hadir ke situ majoritinya dari Jalan Tun Perak.
Empat helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melintasi di udara, peserta dengan penuh semangat melambai dan menjerit "Bersih" kepada mereka.
Sementara itu, sebuah pentas sementara sedang disediakan depan Dataran Merdeka dan banyak berkumpul di sekitar pentas dengan menjangkakan terdapat aktiviti pagi.
Beberapa sukarelawan BERSIH tutut membantu pekerja Alam Flora mengimpun dan membuang sampah semalam, yang kemudiannya dimasukkan ke dalam lori sampah.
BERSIH di bandar New York
Bandar New York (NYC): Sebagai sebahagian daripada gerakan Global BERSIH, kira-kira 500 rakyat Malaysia menghadiri himpunan Bersih 4 yang diadakan bertentangan dengan ibu pejabat PBB di bandar New York hari ini.
Ucapan telah disampaikan oleh beberapa orang rakyat Malaysia termasuk menantu kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim Syaheedah Jes Izman. Turut hadir anak lelaki Anwar, Nurul Ihsan.
Peserta kemudian berarak sejauh 300 meter ke persimpangan dengan pintu masuk utama pejabat PBB di mana ucapan disampaikan. Kemudian peserta yang bersemangat itu bersurai selepas menyanyikan lagu Negaraku.
Perhimpunan tu dianjurkan oleh beberapa anak muda Malaysia di NYC yang dikenali jawatankuas bertindak Bersih 4.0 NYV. Mereka juga mencetak baju T kuning BERSIH yang diharamkan mengikut versi mereka yang direka oleh anak perempuan Anwar, Nurul Hana.
8:00am Simpang Jalan TAR-Jalan Tun Perak Sekumpulan 20 individu melaungkan "Bebas Anwar! menarik perhatian peserta Bersih. Kumpulan itu juga melaungkan "Reformasi! Dan mengibarkan bendera Pulau Pinang".
7:44am Jalan Raja - Ribuan peserta memula hari mereka pagi ini dengan membersihkan diri dan bersarapan pagi.
Seorang sekretariat BERSIH memberitahu Malaysiakini bahawa senaman yang dijadualkan pagi ini dianjakkan ke jam 9 pagi untuk membolehkan para peserta bersiap sedia.
Sementara itu kelihatan tidak ada perarakan latihan untuk Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka hari ini seperti yang diumumkan semalam kerana pihak berkuasa akan meggunakan tempat itu untuk sambutan hari kebangsaan itu pada Isnin.
7:15 am Jalan Raja - Ratusan para peserta berdiri tegak sambil menyanyikan Negaraku.
7am Jalan Raja - MP Shah Alam Khalid Samad mendakwa sekurang-kuranya 30 peratus daripada para peserta terdiri daripada golongan Melayu.
Katanya, jumlah peserta dari kaum lain meningkat secara mendadak kali ini.
"Jika anda hitung, 30 peratus daripada 200,00 penyokong adalah sama dengan perhimpunan sebelum ini.
Isu kaum dalam perhimpunan itu tidak harus dilayan," katanya dalam satu ceramah ringkas kepada kira-kira 100 orang.
6.30am Simpang Jalan TAR-Jalan Tun Perak. Para peserta perhimpunan mula bangun dari tidur dan mengemaskan tempat tidur mereka.
6am Simpang Jalan Raja-Jalan Tun Perak - Para peserta bergegas ke Masjid Jamek sebaik sahaja azan Subuh dilaungkan.
Beberapa orang peserta bagaimanapun memilih untuk menunaikan fardu Subuh di Jalan Raja bersama rakan-rakan mereka.
Pelbagai gelagat para peserta dapat diperhatikan di kawasan sekitar perhimpunan.
Selain hamparan tikar, kotak dan beg tidur, ada juga yang menggunakan rajut.
5.05am Jalan Tun Perak - Sekumpulan anak muda mengedar sandwic percuma kepada para peserta.
Mereka menyediakan 1,500 sandwic tuna untuk diagihkan kepada peserta yang bermalam di kawasan perhimpunan.
Kumpulan ini bertegas untuk tidak menerima bayaran, seperti ditunjukkan pada slogan "Duit kopi tak mahu" di poster yang dibawa.
4.52am: Jalan Raja - Seorang peserta bersama pasangannya berlindung dalam sebuah khemah.
Pemuda yang hanya ingin dikenali dengan nama Andy itu berkata khemah tersebut untuk melindungi barangan berharganya.
Katanya, tindakannya mendirikan khemah itu "tidak apa-apa" walau perkara itu ditegah DBKL.
'Hadir ke BERSIH 4 (dianggap) haram, pakai baju (dianggap) haram jadi apalah sangat dengan satu khemah kecil?".
Selain itu, dua lagi khemah turut dikesan di Jalan Parlimen.
3.11am Jalan Raja - Lim Kit Siang menginap di salah sebuah khemah yang didirikan Mohamad Sabu, berhampiran sekatan polis dekat Dataran Merdeka.
2am Simpang Jalan Raja-Jalan Tun Perak – Ribuan peserta yang tadinya cergas bertenaga kini hampir kesemuanya rebah.
Ada yang melelapkan mata di atas hamparan dan ada juga yang hanya berbaring di atas aspal, dengan berbantalkan lengan.
Deru angin mendinginkan lagi malam yang kian larut.
1am Jalan TAR – Pemimpin pasukan perubatan BERSIH, Geng Ta mengesahkan, pasukannya terima 13 kes keracunan makanan setakat ini.
Seramai 13 orang peserta mengadu mengenai sakit perut dan cirit birit dan seterusnya, enam orang dihantar ke Hospital Kuala Lumpur, katanya.
“Pasukan perubatan kami akan mengendalikan kes ini sebagai keracunan makanan,” katanya yang menambah, keadaan para peserta itu kini stabil dan tidak dianggap serius.
Tambahnya, ia mungkin berpunca daripada minuman yang diminum oleh para peserta berkenaan.
Katanya, ada pihak mengesyaki minuman yang diletakkan di tepi jalan itu dicemari oleh pihak tertentu.
“Kami menghantar segala laporan ini kepada polis kerana kes ini septutnya disiasat polis,” kata Geng Ta.
12.45am Jalan Tun Perak - Seorang peserta perhimpunan membuat sumbangan dengan cara tersendiri – beliau memberi maklumat percuma kepada para peserta mengenai lokasi tandas.
“Tidak ramai orang di sini yang tahu di mana letaknya tandas, terutama pada waktu sebegini,” kata Ong yang berasal dari Muar.
Katanya, rakan-rakannya membuat sumbangan sama kepada para peserta lain semasa perhimpunan BERSIH 3.0.
12.29am Jalan Raja – Para peserta mula beredar dari kawasan pentas BERSIH dan kawasan berhampiran sekatan polis di Jalan Raja.
Kumpulan ini berlegar-legar di sekitar persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak.
12.01am Jalan Raja – Maria Chin menggesa peserta menjadikan Jalan Tun Perak dan Jalan Tunku Abdul Rahman sebagai “hotel” untuk bermalam pada malam ini.
Beliau memuji para peserta yang menunjukkan keberanian sehingga mencipta sejarah pada hari ini.
“Jalan TAR atau Tun Perak, itu adalah hotel kita dan esok kita ada acara lagi.
“Saya nak berterima kasih kepada semua 88 NGO yang tolong menjayakan himpunan ini,” katanya.
Ucapan para pemimpin perhimpunan disudahi dengan nyanyian lagi negaraku bersama para peserta.